Anggota kumpulan Zero, Atu memohon maaf sekiranya seluar yang dikenakan ketika membuat persembahan kedua di Maharaja Lawak Final 2019 (MLM2019) menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penonton.
Malah katanya, ia berlaku tanpa disengajakan dan hanya mengetahui perkara berkenaan sejurus membuat persembahan setelah menjadi buah mulut penonton.
“Orang rumah saya cakap okay. Cuma sebelum membuat persembahan saya ada pakai satu lapis lagi seluar sebab isteri tegur, katanya ‘nampak’ sangat.
“Lebih kurang macam tulah. Jadi untuk keselamatan saya pakai selapis lagi seluar panjang. Akan tetapi sebaliknya yang berlaku agaknya. Mata kau orang ni hebatlah.
“Saya tidak perasan. Kalau ternampak atau terkeluar saya minta maaf. Ada sahaja cari salah kan?,” katanya lagi kepada MH.
Menerusi persembahan kedua yang diperkatakan itu. kumpulan trio ini membawakan sketsa manusia yang menerokai planet Pluto lalu bertemu dengan makhluk asing.
Atu pada masa sama turut menjelaskan apa yang berlaku adalah di luar kawalannya dan kritikan tersebut pertama kali diterimanya sepanjang program bersiaran.
“Ia berlaku di luar kawalan dan ia pertama kali seumpamanya dalam komen sedemikian. Sudah di pentas final dan ia trending pula. Mungkin kerana warnanya juga,” jelas Atu yang tidak mahu memandang serius akan komen netizen berkaitan hal berkenaan.
“Masing-masing punya pendapat cuma saya harap, ia tidaklah jatuh kesalahan di pihak saya. Saya pun tidak sengaja dan minta maaf.
“Apa pun, komen-komen yang nakal tu mungkin sebab mereka nak bergurau,” akhirinya.
Pada malam final program tahunan itu baru-baru ini, Zero berjaya menduduki tempat kedua dan sekaligus melayakkan Atu dan dua anggota lainnya, Sharif dan Syaiful membawa pulang hadiang wang tunai berjumlah RM250,000 beserta trofi.
Kumpulan Puteh diumumkan sebagai juara tahun ini selepas mempersembahkan dua persembahan yang cukup meyakinkan penonton dan para juri.
Foto: Instagram Atu Zero