Pelakon, Nas-T akui sangat berpuas hati dengan hasil akhir sut rasmi yang disediakan oleh pihak produksi untuk watak adiwira, Keluang Man di dalam filem Keluang Man The Movie.
Menurut Nas-T atau nama sebenarnya, Nas Muammar Zar Nasruddin, sut Keluang Man ini telah menjalani tempoh ujian yang sangat panjang bagi memastikan ia sesuai dan selesa untuk dipakai sepanjang penggambaran.
“Sut yang saya pakai ini merupakan prototaip yang keempat atau kelima. Ketika prototaip pertama, ada banyak cabaran seperti sut terkoyak. Kita ada jalankan ujian mobiliti untuk menguji ketahanan sut ini.
“Bila memasuki prototaip kelima, barulah kita rasa inilah sut paling sesuai. Bila kita buat adegan berlawan dan stunt, sut ini tiada masalah.
“Saya paling suka helmet kerana ia dibuat khas untuk muka saya menggunakan pengimbas 3D. Bila pakai, memang terletak.
“Saya tak ambil masa lama pun untuk sesuaikan diri dengan sut ini. Cuma kita kena lalui fasa-fasanya,” katanya kepada MH.
Nas-T berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran sut rasmi Keluang Man yang berlangsung di Incircle Event Space, Desa Park City, Kuala Lumpur pada Jumaat.
“Paling lama saya pakai sut ini adalah 12 jam. Helmet itu kita kena buka selalu sebab ia menyukarkan saya bernafas
“Panas itu pasti dan saya memang banyak berpeluh ketika pakai sut ini. Alhamdulillah, kesemua panggambaran dijalankan pada waktu malam.
“Jadi tidaklah terasa sangat. Kalau penggambaran dijalankan pada waktu siang, mungkin akan ada masalah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, suami kepada pempengaruh Atita Haris ini juga akui watak Keluang Man ini sememangnya mencabar sudah biasa berdepan dengan kecederaan.
“Kecederaan memang banyak kali berlaku. Ada kalanya kita tak sedar pun kita cedera. Balik rumah baru perasan ada lebam sana sini. Bila sudah selalu cedera, saya sudah terbiasa.
“Namun, kecederaan itu tidak mengganggu lakonan dan adegan berlawan. Ini adalah projek paling mencabar dalam kerjaya saya.
“Ia mencabar ketahanan saya untuk melakonkan watak Keluang Man terutama sekali fizikal untuk melakonkan babak aksi.
“Ia juga menguji kredibiliti saya untuk menjadi pelakon lebih versatil. Anda boleh lihat sendiri mengapa saya berkata sebegitu bila filem ini siap nanti,” akhirinya.
Terdahulu, filem Keluang Man ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran selama 64 hari dan dijadulakan akan ditayangkan di pawagam pada 2025.
Selain Nas-T, filem arahan Anwari Ashraf ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Anwaar Beg Moghal dan Shweta Sekhon.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.