Hampir setahun terjun secara rasmi dalam dunia hiburan mainstream lokal, nama penyanyi Killa Driz,22, mungkin masih baharu bagi sebilangan besar peminat.
Namun menerusi ‘underground scene’, lagu-lagu nyanyiannya nyata mendapat sambutan baik yang sekali gus membuatkan bintang muda ini sudah mulai mengumpul peminat tersendiri.
Meskipun sudah ‘berhijrah’, dia gembira apabila masih mengekalkan bunyi underground seperti mana yang sudah diperjuangkan sejak berusia 15 tahun lagi.
“Pendengar boleh sahaja menerima apa sahaja muzik asalkan mereka suka dan lagu tersebut kena dengan mereka. Dunia sudah berubah dan orang boleh menerimanya,” katanya.
Biar kebanyakan rakan seangkatan masih mahu kekal dalam underground scene, dia bagaimanapun menyifatkan perkara tersebut adalah satu kebiasaan memandangkan masing-masing mempunyai strategi untuk kekal relevan dalam memasarkan muzik mereka.
Sejak melancarkan lagu Siapa Tahu bulan Mac yang lalu, Killa Driz menganggap perjalanan yang dilaluinya penuh warna warni. Transisi perubahan sedang dilalui olehnya dengan penuh keterujaan.
“Untuk diterima ramai bukan satu perkara yang mudah memadangkan saya perlu dilihat berbeza, perlu ada kelainan untuk diterima ramai sementelah industri muzik kita kecil.
“Tidak dinafikan banyak saingan daripada rappers baharu yang muncul, jadi saya perlu cari kelainan. Apa yang paling penting attitude perlu dijaga memandangkan tidak semua orang menerima kita kerana produk sahaja.
“Ada orang melihat peribadi juga. Daripada peribadi barulah mereka mengenal lagu dan sebagainya,” katanya yang sudah menghasilkan lagu Siapa Tahu, Sedar Ku, Kena Sidai dan Berserah.
Bercerita mengenai perkembangan terbarunya pula, Killa Driz gembira apabila lagu Berserah gandingan bersama Sabbala, A-Kid dan LastKhalif menjadi runut bunyi untuk drama Tikam lakonan Fahrin Ahmad, Ben Amir, Intan Najuwa, Micheal Ang dan ramai lagi.
Drama berkenaan ditayangkan bermula 3 November lalh, setiap hari Rabu, pukul 9.30 malam di saluran Astro Ria (CH 104) di bawah jenama Gempak Original Series.