Pengacara dan pelakon popular Indonesia, Cut Tari memanjatkan rasa bangga apabila anak tunggalnya, Sydney Azkassya Jusuf, 17, menjuarai pertandingan Gadis Sampul 2024 sekaligus mengalahkan 19 peserta yang lain.
Kemenangan Sydney ini mengimbau kembali kenangan lama Cut Tari yang pernah bertanding dalam pertandingan yang sama pada tahun 1991 dan bergelar naib juara.
Meluahkan rasa bangga atas pencapaian anaknya, wanita berusia 47 tahun itu memuat naik satu hantaran dengan gambar Sydney yang mengenakan mahkota kemenangan.
“Mama tahu Sydney banyak melalui proses yang panjang dan tidak mudah untuk menyertai pertandingan Gadis Sampul ini, dan akhirnya Alhamdulillah inilah hasil pencapaian Sydney,” ujarnya bangga.
Menambah lagi Cut Tari menitipkan pesanan agar anaknya itu menjaga jati diri dan menjadi seorang perempuan yang kekal benar kepada diri sendiri.
“Melihat Sydney dalam foto ini, mama berharap Sydney akan terus dapat mengekalkan identiti Sydney, menjadi wanita yang sentiasa menaik taraf diri, mempunyai personaliti yang baik dan tulen.
“Sydney, dalam hidup ini masih banyak proses yang Sydney akan lalui, apa-apa pun Sydney mesti boleh terus memandang ke hadapan ya sayang.
“Jangan jadikan penilaian orang terhadap Sydney sebagai penanda aras, sama ada pujian atau sebaliknya, anda mesti masih boleh menstabilkan diri anda. Dan satu perkara yang pasti, tetap rendah hati,” pesannya panjang.
Sekadar info, Sydney Azkassya Jusuf merupakan anak tunggal Cut Tari bersama bekas suaminya, Johanes Jusuf Subrata.
Pertandingan Gadis Sampul merupakan pertandingan pencarian model remaja yang diadakan sejak tahun 1987. Ramai selebriti Indonesia memulakan karier mereka menerusi pertandingan ini. Antara yang terkenal seperti Revalina S Temat, Sigi Wimala, Desy Ratnasari dan allahyarham Nike Ardilla.