Mimifly yang juga merupakan salah seorang anggota One Nation Emcees memberi pandangan sepatutnya dalam sesebuah pertandingan hanya perlu ada satu juara, berbanding kejutan perihal keputusan final Gegar Vaganza 6 (GV6) lalu.
Malam tadi, GV6 mengumumkan dua finalisnya, Hady Mirza dan Naqiu Boboy sebagai juara bersama atas persembahan akhir yang cukup meyakinkan.
“Lazimnya memang tak pernah jadi, saya selalu rasa kalau pertandingan itu akan ada juara dan tempat kedua. Tak kiralah pertandingan apa pun.
“Ia jarang berlaku dan rasanya ini pertama kali saya masuk pertandingan dan ada dua pemenang. Hanya ada satu pemenang, sebab itulah namanya pertandingan. Mesti ada satu.
“Nak kata setuju… Pandangan saya patutnya pilih satu. Tak mungkin bagi saya yang mereka tidak boleh pertimbangkan hal lain untuk mendapatkan juara mutlak,” katanya jujur.
Mimi bagaimanapun tetap menghormati keputusan berkenaan selain menyifatkan ia sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.
“Akan tetapi saya sedar juga, ini adalah program realiti dan sudah tentu saya hormati keputusan malam final.
“Ia menjadi sesuatu yang ‘out of the box’. ONE menyertai GV dan kami sudah rasakan pengalamannya.
“Sekarang bila sudah habis program ini kami sedar kenapa ia menjadi program hiburan nombor satu sebab pelbagai ‘content’ yang disajikan,” jelas Mimi.
Sementara itu, ditanya mengenai kedudukan di tempat kelima yang sandang mereka, Mimi yang mewaliki ahli ONE lainnya positif dan gembira kerana persembahan berjalan lancar seperti yang diharapkan.
“Kami gembira dan bila sudah dapat lolos ke final pun sudah terkejut. Kalau kita tengok semua finalis sudah berikan yang terbaik.
“Apa pun, kami tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan ia ada sebuah pertandingan nyanyian.
“Cukuplah untuk ONE, tak adalah jangka untuk raih tempat pertama. Yang penting kami rasa bila buat persembahan tadi macam kita yang ‘champion’.
“Bila diumumkan tempat kelima pun kami rasa kami sudah pun menang,” kata Mimi optimis.
GV6 malam tadi yang bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam menyaksikan Hady dan Naqiu masing-masing mengumpul markah keseluruhan yang sama, iaitu 87 peratus.
Sementara ONE berada di kedudukan kelima dengan 67 Peratus. GV6 selama 11 minggu mendapat penjurian sepenuhnya dari juri profesional, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS sebagai ketua juri.
Pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman pula diundang sebagai juri jemputan pada malam kemuncak.
Saksikan sidang media penuh GV6 final di sini;