Selebriti sensasi Hollywood, Paris Hilton akhirnya mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihannya, Carter Reum di sebuah lokasi peribadi di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Majlis serba indah yang dilangsungkan pada Khamis, 11 November (waktu tempatan) itu turut dihadiri ahli keluarga serta kenalan terdekat pasangan seperti Paula Abdul dan Kim Kardashian.
Malah bintang yang sinonim menerusi siri The Simple Life tidak lama dulu itu turut berkongsi foto momen bahagia mereka di Instagram.
“My forever begins today… 11/11,” tulisnya pada salah satu entri yang disusuli dengan emoji berbentuk hati.
Paris tampak anggun dalam persalinan gaun pengantin ilham Oscar de la Renta.
“Kami ambil masa berbulan mereka gaun impian bersama pasukan pereka dari Oscar de la Renta iaitu Fernando Garcia dan Laura Kim.
“Saya gembira dengan hasilnya. Saya mahukan sesuatu yang ‘timeless’, elegan, ‘chic’ dan ikonik. Saya sangat gembira,” katanya yang turut dibantu skuad cantiknya pada hari bahagia.
Serentak dengan itu, peminatnya dari seluruh dunia turut tumpang gembira dan melayangkan ucapan tahniah buat pasangan pengantin baru.
Sementara itu, majlis mereka akan bersiaran secara eksklusif di Peacock TV.
Paris dan Carter menjalin hubungan sejak 2019 lalu dan keduanya turut bertunang selama sembilan bulan sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Sumber: Vogue, People, Instagram Paris Hilton