“Jangan sesekali benarkan maruah dihenyak dan diperkotak-katik,” Itu pesanan tegas Misha Omar selepas kes samannya selesai.
Ditemui MH, ulas Misha, sebagai seorang ibu, isteri dan anak, kesan fitnah dan tuduhan itu telah menconteng arang ke muka keluarganya. Masyarakat bercerita sehingga keluarga mertua terkena tempias.
“Hidup sebagai artis memang mudah terdedah kepada fitnah. Ini adalah kali kedua saya bangkit pertahankan maruah. Kes dahulu apabila saya difitnah menjadi isteri kedua kepada seseorang.
“Dan kini, saya sudah berkahwin, punya anak, punya suami. Banyak air muka yang perlu dijaga.
“Semakin berusia, saya harus menjaga hati dan perasaan supaya ia kekal berada dalam situasi yang positif.
“Apa yang berlaku sebenarnya tidak semena-mena membuatkan saya menjadi manusia negatif. Saya jadi tidak puas hati dengan orang dan tercerita sewaktu rakaman sebuah program baru-baru ini.
“Mungkin menyakitkan hati orang itu. Saya berubah jadi orang yang tidak baik.
“Saya mahu berubah dan move on. Jadi saya ambil tindakan. Saya tidak mahu dibelenggu dengan rasa tidak puas hati. Kena ada penamat. Kalau nak saman boleh tapi saya bukan sezalim itu. Kalau salah minta maaf, bukan susah,” ulasnya bersyukur fasa ‘hitam’ ini telah berlalu dengan tenang.
Walaupun pihak berkuasa mahu mengambil tindakan tegas, namun ulas penyanyi Bunga Bunga Cinta ini, dia tidak mahu memburukkan keadaan.
“Waktu saya membuat laporan polis, pihak berkuasa mengatakan bahawa akan terus mengambil tindakan, namun saya tidak mahu kerana mereka juga punya keluarga. Disebabkan itu, saya hanya memberi amaran dan mudah-mudahan perkara ini tidak berulang kepada artis lain.
“Alhamdulillah, kesannya sangat baik kerana orang semakin berjaga-jaga menulis komen,” ulasnya bersyukur pihak berkuasa banyak membantu dan memberi input berguna mengenai kes fitnah di alam maya.
Malah penyanyi berusia 37 tahun ini menyeru rakan artis agar turut sama bertindak sekiranya dibuli dan difitnah secara terang-terangan di media sosial.
“Saya menyeru rakan artis supaya ambil tindakan kerana kita harus jaga nama baik industri dan kredibiliti. Jangan rasa terperangkap, artis dan netizen punya hak yang sama. Marilah kita memerangi budaya kecaman.
“Kita tak boleh main-main dengan agama dan nilai moral. Kalau kita tak ambil tindakan, orang akan mula percaya dan mencari nilai ‘mutual’ untuk membenarkan tuduhan itu,” jelasnya.
Foto – Instagram Misha Omar
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI