“Untuk Menampakkan Macam Ada ‘Chipped‘ Sikit,” – Hero Remaja Mierul Aiman Rela Patahkan Gigi Demi Watak

Share

Pentas akhir Hero Remaja 2021 telah pun berlabuh kira-kira tiga minggu lalu menyaksikan Mierul Aiman diangkat sebagai juara edisi kesebelas penganjuran pertandingan tersebut. Perjalanan mereka di dalam industri hiburan sudah pun bermula dan masing-masing mula mengatur langkah untuk bergelar anak seni.

Mengambil satu pendekatan untuk memberi pendedahan dan mendekatkan mereka dengan lakonan, sebuah telemovie khas telah dihasilkan. Telemovie berjudul Hierarki ini dibintangi oleh 12 finalis Hero Remaja 2021 dan ia turut menampilkan pelakon handalan tempatan yang lain.

Antaranya seperti Dato’ Rosyam Nor, Namron, Kamarool Hj Yusof (Che Man), Fauzi Nawawi, dan Pablo Amirul manakala finalis Hero Remaja 2017, Razman Mahayudin dan finalis Dewi Remaja 2019, Nina Amin bertindak sebagai pelakon pembantu.

Sedikit sinopsis telemovie ini, ia mengisahkan tentang enam pemuda dari latar belakang sosio-ekonomi yang berbeza, yang akhirnya membina satu ikatan setiakawan dalam jangkamasa yang singkat.

Mengisahkan Fazz seorang selebriti media sosial, Ijan si seniman jalanan, Megat si gelandangan, Jali seorang bekas banduan, Wafi yang merupakan pemuda istimewa juga mangsa buli serta Saikoboi seorang gamer yang memiliki banyak hutang. Mereka telah dijemput menyertai satu eksperimen psikologi rahsia di suatu kordinat yang tiada titik liputan.

Mereka dan empat lagi peserta diuji secara fizikal dan mental di sebuah kapal korek usang. Hanya yang berjaya akan selamat, yang gagal maut menanti.

Juara Hero Remaja 2021, Mierul Aiman yang bakal melakonkan salah satu watak utama berkongsi cerita kepada Media Hiburan tentang telemovie pertama yang dibintanginya ini.

“Sangat teruja dan gembira sebab inilah yang Mierul tunggu, iaitu berlakon di kaca televisyen dan memainkan salah satu watak utama di dalam telemovie tersebut.

“Mierul memegang watak sebagai Megat yang merupakan seorang budak gelandangan. Paling best, Mierul patahkan gigi mirul untuk menampakkan macam ada chipped sikit. Tapi gigi tu memang patah dulu sebenarnya sewaktu kecil dan ia gigi tampal. Jadi bila patahkan sikit gigi tu menampakkan karakter lebih menjadi.

“Penonton kena tengok telemovie ni kerana ia lain daripada yang lain kerana memiliki cabaran, emosi, kasih sayang dan keterujaan. Mierul sendiri tak sabar nak tengok telemovie ini dan diharapkan penonton akan mendapat aura positif bila melihat cerita ini,” kongsi jejaka berusia 23 tahun ini.

Jangan lupa untuk menyaksikan telemovie Hierarki yang akan disiarkan hari ini jam 10 malam di saluran Astro Ria.

BACA JUGA: “Saya Ingin Jadi Remaja Yang Baik..,” – Hero Remaja Mierul Aiman Tak Mahu Dibuai Mimpi, Nak ‘Jaja’ Bakat Bukan Kontroversi

+++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
Fiezreen