Hiburan

“Patik Berbangga & Syukur Kerana Dikurniakan Seorang Raja Berjiwa Rakyat,” – Siti Nurhaliza

Share

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza marakamkan ucapan penghargaan buat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang akan menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.

Menurut Siti, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong telah banyak mencurahkan bakti dan meninggalkan kenangan manis buat seluruh rakyat Malaysia.

“Patik sebagai rakyat Malaysia dan orang Pahang ingin menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kerana Tuanku berdua telah banyak memberikan kenangan manis dan kebaikkan sepanjang Tuanku berdua memerintah,” katanya.

Ucapan tersebut dikongsikan sendiri oleh penyanyi lagu Cindai itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Dalam pada itu, Siti turut mendoakan semoga Seri Paduka dan Tunku Azizah sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan berada di dalam lindungan Allah SWT.

“Rakyat Malaysia pasti akan merindui Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua. Doa patik dan seluruh rakyat Malaysia semoga Tuanku berdua akan terus dilindungi Allah SWT dan diberikan kesihatan yang baik.

“Sebagai orang Pahang, patik bangga kerana Tuanku berdua telah berikan yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ampuan Tuanku, kita jumpa di Pahang,” katanya lagi.

Hari ini negara akan menyaksikan Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke negeri Pahang.

Setelah lima tahun menjalankan amanah memayungi negara, keberangkatan pulang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membuatkan rakyat jelata turut berduka.

Al-Sultan Abdullah akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula esok.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Siti Nurhaliza

Published by
Aizam Manaf