Pelakon Bella Astillah yang nekad memfailkan perceraian terhadap suami, pelakon dan penyanyi Aliff Aziz menjelaskan, Aliff sepatutnya hadir ke mahkamah bagi sebutan pertama kes cerai melibatkan mereka.
Bella, 30, atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah juga berkata, dia nekad untuk berpisah dan menganggap perpisahan adalah jalan terbaik untuk mereka.
“Patutnya dia (Aliff Aziz) hadir hari ini (Rabu). Setahu saya dia setuju pada awalnya untuk bercerai. Saya cuma nak permudahkan proses, lebih-lebih lagi ini adalah bulan Ramadan. Saya mahu semuanya berjalan dengan lancar.
“Saya rasa ini adalah jalan terbaik untuk kami. Saya rasa memilih ini (cerai) adalah yang terbaik untuk diri Aliff dan saya,” katanya.
Ditanya sama ada akan memberi peluang kepada Aliff, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia sudah beberapa kali memberikan peluang kepada suaminya.
“Peluang demi peluang sudah saya berikan kepada Aliff. Apa pun dia tetap ayah kepada anak-anak saya.
“Saya juga sudah cakap dengan dia nak berpisah cara baik. Semoga apa yang terjadi ada hikmahnya. Cinta tak semestinya memiliki,” katanya lagi.
Sementara itu, peguam yang mewakili Bella, Azmi Mohd Rais berkata, hari ini adalah tarikh sebutan pertama perceraian.
“Pihak kami failkan cerai kelmarin secara ekspres. Sebelum ini Aliff bersetuju untuk cerai dan datang, namun dia maklumkan ada penggambaran. Dia minta tarikh seterusnya.
“Ikut prosedur pada tarikh akan datang, Aliff perlu hadir dan menyatakan pendirian dia sama ada mahu cerai atau tidak.
”Jika tidak mahkamah akan tentukan langkah seterusnya iaitu Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam,” katanya.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini