‘Payung’ Foto Kereta Mewah, “Kalau Ada Yang Tak Suka Atau Tak Selesa…,” – Shuib Tak Riak, Tapi…

Share

Kebelakangan ini, penyampai radio yang juga usahawan, Shuib sering kali dilihat merakam foto bersama kereta-kereta mewah yang dikongsikan di Instagram. Lalu, tindakannya itu mengundang rasa tidak senang segelintir netizen.

Malah, ada yang menempelak suami kepada penyanyi Siti Sarah Raissuddin itu yang disifatkan seperti riak dan suka menunjuk-nunjuk.

Pada mada sama, ada juga yang rasa tidak selesa selain menyifatkan Shuib bagaikan terikut-ikut dengan sikap sesetengah pihak yang sepertinya sengaja mahu menayang kemewahan di laman sosial.

Bagaimanaun, Shuib ketika hubungi menjelaskan, niatnya hanyalah mahu berkongsi minatnya terhadap kereta berkenaan.

“Bukan niat saya menunjuk-nunjuk, tapi berkongsi apa yang memang saya suka. Kalau ada yang tidak suka atau tak selesa, jangan follow saja saya,” kata penyampai radio Hot FM itu ringkas.

Media sebelum ini pernah menebak dirinya sebagai jutawan, namun Shuib merendah diri dan menafikan perkara itu.

Hakikatnya deretan koleksi kereta mewah yang dipaparkan dalam muat naik di platform laman sosialnya itu secara tidak langsung membayangkan, dia berada pada tahap yang selesa.

“Saya minat dan apabila minat, saya berusaha serta bekerja keras. Apa yang saya buat adalah untuk memotivasi diri,” jelasnya lagi.

Antara foto yang bertebaran di laman sosial ialah barisan kereta mewah seperti Mc laren 650s, Porsche GT4, Camaro Chevrolet, Mustang dan Dodge Challenger SRT.

Carian di laman web menunjukkan ada harga kereta berkenaan mencecah lebih jutaan ringgit mengikut pasaran semasa.

Pada masa sama, ada perkongsian yang muat naik itu turut mendapat reaksi rakan selebriti, misalnya Nabil Ahmad dan Zizan Razak. Bahkan, video yang dikongsi turut mendapat lebih 200,000 tontonan.

Dalam perkembangan lain, Shuib sebelum ini telah menerima pengiktirafan di Malaysia Prestigious Industry Award 2019 (MPIA), pada Jumaat.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu telah dianugerahkan Prestigious Leader In Retail Chain & Lifestyle Industry menerusi perniagaan madu, Bee Factory yang diusahakan tujuh tahun lalu.

Published by
Rafiq Mazlan