Hiburan

“Pegang Isteri Sendiri, Orang Lain Pula Sakit Hati,” – Babak Dalam MV, Shahir Serah Pada Allah Lawan Sakit Ain

Share

Mahu menyampaikan kisah cinta yang lebih nyata, penyanyi Shahir Zawawi memutuskan untuk menampilkan isterinya, Jaskin Jaludin di dalam muzik video lagu terbaharunya yang berjudul Aksara.

Menurut Shahir, pemilihan isterinya itu juga merupakan salah satu tanda penghargaan bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kedua.

“Lagu dan muzik video ini memang berkisarkan tentang kisah kami. Ia juga merupakan satu penghargaan buat dia. Malah, ia juga bersempena ulang tahun perkahwinan kami yang ke-2.

“Selama ini, ketika saya melakonkan mana-mana muzik video, saya tak dapat menjayakannya dengan real kerana tak boleh berpegangan dan sebagainya.

“Kali ini saya ingin bawakan sesuatu yang bila orang tengok, ia nampak nyata,” katanya kepada MH.

Juara Akademi Fantasia musim ke-8 itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media lagu Aksara yang berlangsung di Ace Cafe, Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada masa sama, Shahir akui dia dan isteri berasa agak janggal untuk sama-sama berlakon di dalam muzik video buat pertama kalinya.

“Saya jarang buat begini. Walaupun kami ini suami isteri, nak bermesra sangat di hadapan orang luar pun tak boleh sangat.

“Namun, saya jalani penggambaran dengan keluarga World Peace Entertainment yang sudah pun begitu rapat. Jadi, janggal itu kurang sedikit,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada dia bimbang dengan penyakit ain jika terlalu menunjukkan kemesraan bersama isteri di khalayak umum, Shahir menegaskan dirinya percaya dengan aturan Allah SWT.

“Tak bolehlah kata begitu. Isteri saya pun ada akaun Instagram. Takkan nak suruh dia tutup pula. Tak mengapalah, kita berdoa sahaja kerana Allah maha pelindung.

“Kalau saya tidak menunjuk sekali pun, jika ada orang berniat jahat, mereka akan buat juga. Yang penting, babak kami itu tidaklah menyakiti hati orang.

“Takkanlah sebab saya pegang isteri sendiri, orang lain pula yang sakit hati,” ujarnya lagi.

Malah, Shahir yang kini bernaung bersama syarikat rakaman, World Peace Entertainment turut mengakui dirinya sudah lali untuk berhadapan dengan kritikan netizen.

“Sejak dahulu lagi, saya sudah biasa dengan hal seperti ini. Saya berpegang kepada kisah Luqmah Al-Hakim dengan anaknya.

“Buatlah apa sekali pun sama ada perkara baik atau jahat, tetap ada yang tak suka. Saya tak boleh puaskan hati semua orang,” akhirinya.

Terdahulu, Aksara merupakan sebuah lagu ciptaan komposer Omar K, Iqie Hugh dan Shahir sendiri.

Muzik video Aksara bakal ditayangkan secara rasmi di saluran Youtube, World Peace Entertainment tepat jam 12 pagi Jumaat.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf