Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 20 November ini bagi tarikh sebutan permohonan rujuk yang belum didaftarkan dan sebutan perceraian kali kedua membabitkan pasangan selebriti Farid Kamil dan Diana Danielle.
Peguam syarie mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, sebelum anak guamnya melanjutkan proses perceraian, kedua-dua pihak perlu menguruskan permohonan rujuk terlebih dahulu.
“Sebentar tadi kami memfailkan dua permohonan iaitu kes rujuk bagi cerai yang sudah berlaku pada 10 Ogos tahun lalu apabila mereka kembali bersama pada 9 September tahun sama. Diikuti dengan permohonan cerai.
“Bab rujuk itu anak guam saya mengambil masa sedikit untuk memfailkan tapi saya rasa tiada masalah sebab berlaku dalam tempoh iddah.
“Bagi kedua-dua permohonan yang dibuat, mahkamah menetap 20 November ini bagi sebutan kes. Kami kena serahkan kedua-dua permohonan kepada defendan (Farid Kamil), dan dia kena hadir ke mahkamah,” katanya.
Menurut Akberdin, anak guamnya nekad memfailkan perceraian kali kedua hari ini kerana sudah tiada persefahaman dan berlaku pergaduhan berpanjangan antara mereka.
“Saya dimaklumkan mereka tidak boleh hidup bersama kerana sudah tiada persefahaman.
“Keperluan untuk kami nyatakan secara terperinci itu tak perlu, cuma kita boleh cakap tiada persefahaman dan shiqaq berpanjangan iaitu bergaduh yang tidak boleh dibaiki. Jadi atas alasan itu Diana nekad memfailkan perceraian,” katanya kepada MH.
Sementara itu, Diana enggan memberikan sebarang komen dan terus menuju ke kereta yang sudah menunggu di hadapan lobi mahkamah.
Terdahulu, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan memfailkan perceraian buat kali kedua selepas setahun kembali rujuk ke pangkuan Farid.
Dalam satu temu bual bersama media, Farid mengaku berlaku perselisihan faham kecil antara mereka, sebelum Diana berkongsi kenyataan akan memfailkan perceraian buat kali kedua.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Sebelum ini, Farid dan Diana pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos secara dalam talian sebelum rujuk semula pada 31 Ogos lalu.
Foto: Awani