Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor tampil memberikan ulasan mengenai beberapa kenyataan pihak yang meminta individu terpalit kontroversi menerusi siri pendedahan wanita Singapura, yang dikenali sebagai Sarah Yasmine agar membuat laporan polis.
Malah ada juga yang berpendapat wanita yang mendakwa dirinya sebagai kekasih kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz itu balik ke negara asalnya, Singapura.
Menurut Aminahtul, jangan menjadikan isu curang itu masalah antara dua negara kerana ia membabitkan sikap individu.
“Saya dengar beberapa individu mengeluarkan kenyataan kepada media meminta untuk mana-mana individu yang terbabit dan terpalit dengan pendedahan Sarah Yasmine membuat laporan polis.
“Ada juga isu menyatakan bahawa ‘you orang Singapura, balik Singapura, selesaikan masalah ini di Singapura’. Jangan mengaibkan artis di Malaysia.
“Saya hanya menyatakan isu undang-undang. Tetapi, kena faham, ini bukan isu negara pun, tak ada kaitan langsung dengan Malaysia dan Singapura sebab ini masalah sikap. Negara ada banyak masalah dah,” katanya.
Menerusi hantaran video di TikTok, Aminahtul juga menjelaskan kedudukan isu itu dari sudut undang-undang.
“Apabila buat laporan polis, saya terangkan apa akan berlaku. Contohnya, di bawah fitnah atau di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Apabila laporan polis dibuat, telefon yang digunakan oleh Sarah Yasmine untuk tangkap layar dan muat naik di Instagram akan dirampas.
“Polis akan hantar kepada forensik untuk ekstrak segala-galanya untuk tengok dari mana punca metadatanya, dari mana dapat, betulkah tangkap layar itu daripada telefon Sarah Yasmine sendiri, betulkah ia adalah simpanan peribadi atau ada tak sumber lain yang menghantar maklumat kepada Sarah Yasmine dan digunakan untuk dimuat naik di Instagram? Mereka akan siasat. Kalau ada laporan polis dibuatlah.
“Soalan saya, bolehkah ia jatuh di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah? Bolehkah ia jatuh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang menyatakan bahawa sesiapa yang menggunakan media sosial untuk memberikan hantaran lucah, jelek, mengancam ataupun menyakitkan hati orang lain yang palsu,” katanya.
Jelasnya lagi, tidak perlu membuang masa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Dalam Seksyen 233 dan Seksyen 500 ada elemen yang perlu dipenuhi sebelum satu pertuduhan dapat dibuat. Kenapa kita nak buang masa polis dan SKMM untuk siasat isu yang didedahkan oleh Sarah Yasmine ini?
“Kenapa kita nak buang masa sedangkan banyak lagi kes jenayah yang perlu disiasat oleh kedua-dua jabatan ini? Ini masalah peribadi mereka,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan penerbit dan pengarah Erma Fatima meminta Sarah Yasmine pulang ke negara asalnya dan selesaikan isu itu di sana selain kecewa dengan sikap wanita itu yang sudah membuka aib beberapa artis tempatan sekali gus menggesa Sarah supaya berhenti menghancurkan industri hiburan Malaysia.
Erma juga menggesa setiap individu yang menjadi sasaran Sarah Yasmine serta dimalukan di media sosial untuk membuat laporan polis serta aduan kepada SKMM.
Dalam pada itu, Presiden Seniman Zed Zaidi dalam kenyataan menasihatkan kesemua selebriti yang terpalit kontroversi membabitkan pelakon Aliff Aziz tampil membuat laporan polis.
Pihaknya juga menyelar Sarah Yasmine sebagai perosak selain meminta pihak terbabit isu berkenaan perlu tampil membuat aduan supaya kemelut sedemikian tidak mencemarkan nama baik industri hiburan tempatan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini