Pekerja kepada usahawan, Datin Noor Kartini Noor Mohamed yang dikenali sebagai Zulshafiqah Zulkafli tampil membuat permohonan maaf di laman Instagram miliknya.
Ia berhubung posting berbaur sensitif yang didakwa telah dimuat naik secara tidak sengaja oleh pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd. itu, pada Ahad di akaun Instagram peribadi milik Kartini.
Berikut merupakan kenyataan maaf yang dikongsikan Zulshafiqah:
SURAT PERNYATAAN PERMOHONAN MAAF
Dengan ini saya Zulshafiqah Binti Zulkafli, Pengurus Media Sosial bagi akaun Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed menyatakan permohonan maaf saya kepada:
1. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah.
2. Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan seluruh Kerabat seluruh Kerabat DiRaja Johor.
3. Datin Noor Kartini Noor Mohamed dan seluruh keluarga.
Saya dengan ini bahawasanya ingin menyatakan permohonan maaf saya berkenaan isu yang telah tular di media sosial hari ini berhubung tangkap layar di media sosial Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed.
Saya secara jujur ingin menjelaskan keadaan sebenar yang telah berlaku. Saya merupakan Pengurus Media Sosial akaun Instagram Datin Noor Kartini telah tersilap memuat naik tangkap layar. Tangkap layar tersebut adalah bertujuan untuk rujukan saya sahaja, tiada sebarang niat untuk dimuat naik di Instagram Datin Noor Kartini mahupun Instagram peribadi saya. Saya juga mahu menjelaskan, gambar dan tulisan asal yang dipaparkan adalah bukan dari penulisan saya mahupun Datin Noor Kartini sendiri.
Saya juga telah memberi kenyataan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu pihak polis menyelesaikan siasatan berhubung isu yang tular ini.
Dengan rasa hormat dan rendah diri patik kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan seluruh Kerabat DiRaja Johor, patik merafak sembah memohon maaf di atas kecuaian yang terjadi.
Saya juga dengan rendah diri memohon maaf kepada Datin Noor Kartini Noor Mohamed serta keluarga di atas kecuaian saya yang telah menimbulkan masalah kepada Datin Noor Kartini sekeluarga. Dengan ini saya berjanji TIDAK akan mengulangi kesilapan yang sama dan sekali lagi memohon maaf atas keralatan dan kesilapan yang berlaku.
Sekian, Zulshafiqah Binti Zulkafli.
Sementara itu, ibu kepada Neelofa itu juga sebelum ini turut tampil memohon maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan satu laporan polis juga telah pun dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berkenaan isu terkait.
Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.