Pelajar Menang Saman Sebab Guru Tak Masuk Kelas, Maya Karin Pernah Alami Situasi Sama

Share

Sejak semalam, hangat diperkatakan di media sosial mengenai kisah tiga orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud yang menang saman berjumlah RM50,000 atas kegagalan guru Bahasa Inggeris hadir ke kelas selama tujuh bulan pada 2017.

Memetik laporan BH Online, mahkamah memerintahkan pampasan dibayar kepada tiga bekas pelajar itu akibat trauma yang dialami mereka.

Sementara itu, menerusi satu ciapan di aplikasi Twitter, pelakon terkenal, Maya Karin mendedahkan dirinya pernah berhadapan dengan situasi yang hampir sama ketika menyambung pengajian di salah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut Maya, disebabkan hal tersebut, dia memutuskan untuk berhenti menyambung pelajaran diperingkat diploma seterusnya menceburi bidang teater.

“Ini merupakan salah satu sebab saya berhenti diploma selepas setahun. Asyik datang kelas sahaja dapat tahu yang kelas tak dapat diteruskan kerana penyarah ada urusan yang tidak dapat dielakkan,” tulisnya.

Jelas pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam ini lagi, keputusan tersebut telah membuka peluang baginya untuk menceburi bidang seni sehingga hari ini.

“Jadi, daripada membazir duit ibu bapa saya, saya berhenti dan buat sedikit kerja dalam bidang teater untuk mendapatkan duit.

“Saya juga berpeluang mengembara dan kemudian baru saya menyertai industri hiburan,” kongsinya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyifatkan Maya melakukan tindakkan yang betul.

“Kita ada pemikiran yang sama Puan Maya. Disebabkan pensyarah macam biskut, saya buat bisnes part time ketika belajar. Saya baru habis belajar dan masih meneruskan bisnes sehingga sekarang.

“Mujur awak berhenti. Kalau tak, tak tahu la siapa yang boleh jadi akak ponti cantik dalam Pontianak Harum Sundal Malam.

“Sedih mendengar perkara ini. Apabila kelas batal, sepatutnya ada kelas ganti.

“Kalau saya ada keberani, saya pun nak buat juga. Penat dah ajar diri sendiri sepanjang diploma,” antara komen netizen di Instagram.

Terdahulu, dalam penghakiman setebal 74 muka surat, mahkamah mendapati plaintif berjaya membuktikan kes berdasarkan imbangan kebarangkalian, selepas mempertimbang keterangan kedua-dua pihak dan kesemua bukti yang dikemukakan.

Mahkamah mendapati kes itu membabitkan persoalan berhubung hak perlembagaan kepada pendidikan, selain isu yang mempunyai kepentingan awam.

Malah, mahkamah mendapati bukti juga menunjukkan tarikh defendan pertama tidak hadir itu adalah sama dengan rekod Jabatan Pendidikan Sabah (JPNS).

Mahkamah turut mendapati tiada bukti menunjukkan defendan pertama sedang bercuti atau terbabit aktiviti sekolah yang lain sepanjang tempoh ketidakhadiran itu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram & Twitter Maya Karin

Published by
Aizam Manaf