“Pelajar SPM Zaman Sekarang Cukup Beruntung…,” – Aplikasi Pemudah Cara, MK K-Clique Akui Kaedah Belajar Kini Ke Depan

Share

Anggota kumpulan K-Clique, MK berasa bangga apabila pusat tuisyen dan peningkatan akademik, PTTI kini mempunyai aplikasi pembelajaran khas atas talian sendiri.

Menurut MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin para pelajar khasnya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beruntung kerana kemudahan aplikasi memudahkan proses pembelajaran.

Aplikasi yang mencipta sejarah baru buat PTTI itu dirasmikan mentor usahawan terkenal, Datuk Wira Dr Azizan Osman, baru-baru ini.

“Pelajar SPM zaman sekarang boleh saya katakan cukup beruntung kerana kehadiran aplikasi pembelajaran khas ini menjadi medium terbaik untuk memudahkan proses mencari dan menambah ilmu.

“Tambah pula dalam keadaan di mana kita sedang membiasakan corak menuntut ilmu atas talian secara total kerana situasi semasa pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.

“Bagi saya juga, corak pembelajaran dulu dan sekarang pasti ada beza. Kita sentiasa bergerak mengikut perubahan zaman dan arus semasa.

“Jujur memang saya sedikit mencemburui pelajar SPM saat ini kerana mereka boleh belajar dan mengakses ilmu bila-bila masa dan di mana saja dengan aplikasi ini,” katanya.

MK dilantik menjadi duta PTTI sejak Februari lalu menggantikan Mira Filzah.

Dia yang pernah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang didudukinya pada tahun 2013 turut memuji usaha PTTI kerana hadir aplikasi berkenaan.

“Apa yang saya lihat dan boleh rumuskan aplikasi pembelajaran khas atas talian ini sangat ke depan. Ia seiring dengan norma baharu kita lalui sekarang di era pandemik.

“Saya yakin aplikasi ini akan jadi sesuatu yang sangat membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

“Dengan ciri antara muka pengguna yang menari serta ‘mesra’ ia mampu menarik minat pelajar untuk memahami input yang dikongsi. Guru di PTTI juga boleh mengajar dengan interaktif sekali gus memudahkan proses penerimaan ilmu untuk pelajar.

“Terbukti selama ini pelajar yang dibantu PTTI berjaya mendapat keputusan cemerlang dan membanggakan,” katanya lagi.

Untuk rekod, MK mendapat 5A dan 3B dalam SPM seterusnya pernah menuntut dalam pengajian diploma bidang perniagaan di UiTM, Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata mereka tidak boleh terkebelakang dalam hal pendidikan.

“Aplikasi pembelajaran atas talian ini dibangunkan staf PTTI sendiri sejak akhir tahun lalu. Kita berasakan selepas lebih lima tahun memacu dunia pendidikan terutama untuk calon SPM termasuk situasi tak terduga pandemik ini, perlu ada alternatif baru belajar yang tak terduga.

“Justeru lahirlah idea aplikasi ini. Kita juga mahu meneruskan kelangsungan membantu lebih ramai lagi pelajar SPM meningkatkan gred dan keputusan cemerlang secara atas talian,” katanya.

Tambah Cikgu Fana lagi, aplikasi terbabit dilancarkan sebagai usaha untuk mewujudkan ruang pembelajaran khas bagi pelajar SPM.

“Kita yakini aplikasi ini mampu terus mencakna perubahan iklim pembelajaran semasa saat ini.

“Pelajar SPM juga boleh belajar secara atas talian menerusi aplikasi terbabit. Malah mereka juga dapat menonton ratusan video ulang tahun teknik dan skil belajar secara percuma,” katanya.

Menerusi pelancaran aplikasi itu juga pelajar SPM boleh melayari aplikasi www.MampuSkorSPM.com untuk memuat naiknya secara percuma.

“Pelajar juga boleh memuat turun aplikasi ini sama ada di App Store untuk pengguna Iphone atau Playstore (android).

“Ini masanya untuk pelajar SPM terutama calon peperiksaan itu mengakses ilmu dan dapat belajar percuma dengan aplikasi ini tak kira di mana saja anda berada,” katanya.

Published by
MH