Pencarian Hero Remaja 2017 anjuran majalah Remaja dan Kumpulan Media Karangkraf melabuhkan tirainya dengan menobatkan Alif Muhaimin, 23, sebagai juara Hero Remaja menerusi acara finale yang disiarkan melalui siaran tertunda secara eksklusif di saluran Astro Ria (104).
Alif yang berasal dari Kelana Jaya, Selangor, menewaskan empat lagi finalis iaitu Farhan Asri, 20, di tempat kedua dan Harris Annuar, 24, di tempat ketiga, selain Nabil Aqil, 19, dan Adam Yusof, 24, pula masing-masing memenangi kategori khas juri, Hero Favourite dan Hero Inspirasi.
Selempang kemenangan Hero Remaja 2017 disarungkan oleh juara Hero Remaja 2011/2012 iaitu Fattah Amin yang turut menyaksikan pemenangnya membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan trofi, percutian sumbangan AirAsia dan penghias muka hadapan Majalah Remaja isu Januari-Mac 2018.
Mengulas tentang kemenangannya ini, Alif mengakui sangat terkejut apabila namanya diumumkan sebagai juara kerana semenjak dari awal sudah menyedari persaingan sengit yang dihadapinya.
“Bila masuk pertandingan memang semua orang nak menang, tetapi jujur saya akui saya tidak menyangka langsung nama saya diumumkan sebagai pemenang Hero remaja 2017,” ujarnya yang masih menuntut di UiTM Shah Alam dalam bidang Sains Aktuari.
Tambah Alif lagi, penglibatan dalam pertandingan Hero Remaja merupakan pengalaman terbaik yang pernah dilaluinya menerusi pelbagai pendedahan baru yang diperolehnya.
Dalam masa yang sama, Alif juga berhasrat untuk terlibat aktif dalam bidang seni dengan menceburi bidang lakonan dan pengacaraan selepas ini.
Pada malam kemuncak ini, kesemua finalis perlu melengkapkan cabaran terakhir mereka menerusi tiga segmen utama.
Untuk segmen pertama, finalis dinilai menerusi sesi fotografi khas di Bukit Gambang Resort City, Pahang bersama tujuh jenis haiwan berbeza bagi menyempurnakan tema safari chic.
Sementara segmen kedua pula menyaksikan kesemua tujuh finalis ditemani oleh 13 orang lagi peserta yang telah tersingkir di peringkat awal untuk melakukan pertunjukan runway dengan menggayakan pakaian daripada jenama terkenal, Rizman Ruzaini, di hadapan penonton yang hadir.
Manakala segmen terakhir pula, mereka diuji menerusi sesi Q&A bersama pengacara, Scha AlYahya untuk melihat sejauh mana keprihatinan mereka kepada isu semasa.
Daripada tujuh finalis, dua daripada mereka iaitu Ikmal Amry, 23, dan Safwan Nazri, 22, terpaksa menerima penyingkiran secara live selepas juri bersepakat bahawa persembahan mereka kurang menonjol berbanding lima finalis lain.
Finale Hero Remaja 2017 dinilai oleh lima juri yang terdiri daripada Datuk Aznil Hj Nawawi, Dynas Mokhtar, Norman Hakim (finalis Hero Remaja 1993/1994), Awal Ashari dan Scha AlYahya.
Sementara itu, Faiz Aimann, Editor Majalah Remaja pula menganggap kesemua peserta yang terlibat dalam Hero Remaja edisi ke-9 ini sebagai antara yang terbaik.
Hero Remaja 2017 memulakan pencarian sekitar April dan Mei sebelum akhirnya memilih 20 peserta terbaik untuk diserapkan dalam pertandingan yang sudah memasuki edisi ke-9 ini.
Dalam tempoh lima bulan mereka diberikan pelbagai cabaran untuk menguji sejauh mana bakat dan kesungguhan yang ditunjukkan untuk mengejar impian bergelar Hero Remaja yang tidak hanya bersandarkan kepada rupa paras, tetapi personaliti serta daya fikiran yang cerdas.
Antara VIP yang turut hadir memeriahkan acara finale ini pula adalah Puan Farah Hussamuddin, (Penerbit Eksekutif Grup Majalah Karangkraf), FZ Aimman (Editor Majalah Remaja), Puan Sharifah (Astro) dan beberapa lagi tetamu lain.
SENARAI PEMENANG HERO REMAJA 2017
Juara
Alif Muhaimin, 23, Selangor
Kedua
Farhan Asri, 20, Negeri Sembilan
Ketiga
Harris Annuar, 24, Selangor
Hero Favourite
Nabil Aqil, 19, Kuala Lumpur
Hero Inspirasi
Adam Yusof, 24, Sarawak