Dikala namanya kini sudah mula mendapat perhatian ramai, pelakon meningkat naik Adrina Kamaruddin harus melupakan seketika impiannya bergelar anak seni bagi menyelesaikan latihan siswazah sebagai seorang doktor.
Menurut Adrina, dia bakal berehat selama dua tahun dan nekad untuk kembali bersaing di dalam industri seni sebaik sahaja tempoh latihan selesai.
“Saya akan berehat sebentar daripada industri seni bermula Oktober ini kerana saya perlu selesaikan ‘housemanship’ atau latihan siswazah sebagai seorang doktor. Saya kena kembali menjalankan tugas sebagai doktor.
“Pada masa sama, saya akan cuba mengisi masa dengan apa sahaja tawaran dalam industri seni. Selepas dua tahun housemanship, saya akan kembali fokus seratus peratus sebagai anak seni,” katanya kepada MH.
Bintang kelahiran Hero Dewi Remaja 2023 itu berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media drama Perang Nasi Dagang Kelantan VS Ganu, baru-baru ini.
Jelas Adrina lagi, dia mempunyai perancangan untuk membuka klinik sendiri dan pada masa sama boleh memberikan tumpuan untuk bergelar pelakon.
“Saya akui memang penat dan enam tahun saya menuntut ilmu dalam bidang perubatan. Namun, bila saya sudah tamat housemanship, saya boleh merancang untuk buka klinik sendiri dan boleh bekerja ikut masa sendiri.
“Pada masa sama, saya boleh menceburi bidang seni juga,” ujarnya.
Ditanya mengenai respon ibu bapanya apabila dia tetap mahu meneruskan impian bergelar anak seni meskipun sudah bergelar doktor, ini respon Adrina;
“Pada mulanya, pihak keluarga ada yang mempersoalkan keputusan saya. Namun, sejak daripada kecil, saya memang sudah ditekankan untuk terus belajar sehinggalah menjadi doktor.
“Jadi, saya bagitahu bapa, saya minta izin, hanya kali ini sahaja saya ingin buat apa yang saya minat. Alang-alang sudah tamat belajar, dia izinkan tapi kena selesaikan juga latihan siswazah ini,” kongsinya lagi.
Mengakui agak risau sekiranya namanya bakal tenggelam, pelakon drama Awak Terlalu Ganu Untuk Saya ini tetap percaya dengan rezeki yang telah diaturkan Allah SWT.
“Saya sebenarnya agak risau dan sedih juga. Namun, saya berpegang kepada rezeki. Saya selesaikan housmanship kerana sudah belajar lama dan nak bahagiakan ibu bapa saya.
“Jadi, saya harap bila saya buat semua ini, Allah akan tolong murahkan rezeki saya bila saya kembali ke dalam industri semula,” tuturnya.
Dalam pada itu, Adrina memaklumkan dirinya juga sudah m membuat persiapan rapi dari segi mental dan fizikal untuk menempuh latihan siswazah ini.
“Saya akui housemanship merupakan satu tempoh yang sangat sukar dan mencabar. Seperti semua sedia maklum, ada yang akan berhenti separuh jalan.
“Sama juga seperti nak mula belajar dahulu, ramai yang kata bidang perubatan ini sangat susah. Ramai akan berhenti tapi disebabkan minat, saya lulus sekali jalan sahaja.
“Saya sudah setkan di kepala, apa jadi sekalipun, saya tetap kena habiskan housemanship ini dalam masa dua tahun kerana saya nak kejar semula impian dalam industri seni,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.