Hari ini industri hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan khabar kematian salah seorang pemain drama bersiri popular Snowdrop, Kim Mi Soo.
Memetik laporan Soompi, Kim Mi Soo meninggal dunia pada usia 31 tahun.
Khabar duka itu turut disahkan oleh pihak agensinya, Landscape Entertainment.
“Kami punyai khabar yang cukup berat untuk dikongsi. Aktres, Kim Mi Soo telah meninggal dunia secara mengejut pada 5 Januari 2022.
“Keluarga dan sahabat terdekat sangat berdukacita mendengar khabar ini.
“Kami memohon agar tidak ada pemberitaan bersifat spekulasi mengenai kematiannya demi menghormati perasaan keluarga yang masih terkejut dengan pemergiannya,” kata kenyataan yang dikeluarkan pihak agensi.
Bagaimanapun, hingga kini, punca kematian bintang tersebut masih belum diketahui.
Kim Mi Soo akan disemadikan di Sungsim Funeral Home dan ia akan dilaksanakan secara tertutup atas permintaan keluarga.
Sepanjang kariernya, Kim Mi Soo telah pun membintangi pelbagai drama antaranya Hi Bye Mama, The School Nurse Files dan Yumi’s Cells.
Malah, drama terbarunya yang berjudul Snowdrop kini sedang ditayangkan dimana Kim Mi Soo membawa watak sebagai Jung Ming yang juga merupakan sahabat baik kepada Young Ro yang dimainkan oleh Jisoo Blackpink.
Kim Mi Soo difahamkan membuat debutnya sebagai pelakon pada 2018.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber: Soompi