Pelakon Korea Selatan, Park Min Jae meninggal dunia pada usia 32 tahun pada 29 November 2024. Menurut laporan, kematiannya itu disebabkan masalah serangan jantung ketika sedang berada di China.
Berita kematian pelakon tersebut dikongsikan oleh adiknya pada Isnin lalu tiga hari selepas kematiannya.
Perkongsian tersebut dikhabarkan kepada umum bagi memberi maklumat mengenai majlis pengebumian yang akan berlangsung pada hari ini tanggal 4 Disember 2024.
Menurutnya, mereka yang ingin menziarahi mendiang boleh berbuat demikian di dewan pengebumian Hospital Ewha Seoul.
“Abang saya yang dikasihi telah pergi berehat dengan aman. Kami berharap seramai mungkin orang boleh datang melawat,” ujar adik kepada pelakon itu.
Agensi Big Title yang mewakili Park Min Jae turut mengeluarkan kenyataan media mengenai berita kematian pelakon tersbeut
“Park Min Jae, seorang pelakon berbakat yang suka berlakon dan sentiasa memberikan yang terbaik telah meninggal dunia. Kami amat menghargai kasih sayang dan sokongan yang diterima.
“Walaupun kami tidak dapat lagi menonton persembahannya, kami dengan bangganya akan mengingatinya sebagai pelakon terkenal Big Title. Semoga beliau berehat dengan tenang,” kongsi kenyataan tersebut.
Selain muncul dalam drama Little Women, antara lakonan lain mendiang adalah menerusi karya seperti Mr Lee, Snap and Spark,Korean- Khitan War dan Numbers.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan