Berita

Pelakon Dwan Hamid Mahu Cipta Rekod Tidur Bersama 150 Ular Selama Dua Minggu – “Sudah Tiba Masanya…”

Share

Pelakon yang sinonim digelar selebriti ular Malaysia, Dwan Hamid mendedahkan dirinya nekad mahu mencipta rekod untuk tinggal bersama 150 ekor ular selama 14 hari dalam sebuah akuarium besar.

Meski menyedari risiko dan bahaya yang boleh mengancam nyawa, Dwan ternyata mempunyai alasan tersendiri mahu mencapai rekod tersebut yang turut menjadi impiannya selama ini.

“Saya dah 15 tahun serius dalam pertunjukan ular. Kalau ikutkan dari kanak-kanak lagi saya dah berjinak-jinak main ular. Saya tak rasa haiwan itu sebagai musuh atau perlu takut, ular juga makhluk Allah yang patut kita sayangi, cuma kenalah berhati-hati.

“Sepanjang tempoh itu, saya banyak ikut sifu saya iaitu Amjad Khan yang juga anak kepada Raja Ular Malaysia, Allahyarham Ali Khan Samsuddin.

“Pengalaman pahit manis, jatuh bangun sebagai pemain ular ini, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mencipta rekod saya sendiri iaitu tidur bersama 150 ekor ular selama 14 hari.

“Bukanlah nak menunjuk-nunjuk kebolehan, tapi saya ada alasan sendiri kenapa mahu mencipta rekod sedemikian,” katanya.

Dwan turut mempunyai beberapa ekor ular sawa dan ular tedung yang disimpan di rumah sifunya Amjad Khan.

Menurut anak kelahiran Perak ini, niatnya hanya  mahu memberi sesuatu yang positif kepada masyarakat terutamanya generasi muda.

“Antara niat saya kejar impian tersebut adalah mahu memberi ilmu pengetahuan dan pembelajaran tentang habitat ular dan haiwan eksotik.

“Dalam masa yang sama memberi peluang orang ramai untuk mendekati dan melihat pelbagai jenis spesis ular melalui pertunjukan ular yang saya jayakan.

“Bukan itu sahaja, apa yang saya usahakan ini juga  adalah untuk memupuk semangat cintakan haiwan  menggalakkan generasi akan datang agar sentiasa melindungi kehidupan habitat ular dan haiwan eksotik daripada pupus.

“saya berjaya mencapai impian mencipta rekod tersebut, secara tidak langsung ia menjadi salah satu tarikan pelancong dalam dan luar negara. Program yang berkonsepkan pendidikan ini juga dapat memupuk rasa cinta kepada alam sekitar yang harus kita jaga,” kataya lagi.

Menyedari impian yang ingin dicapai itu memerlukan masa dan prosedur yang ketat. Dwan akur dengan apa sahaja syarat atau kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya tahu dan sedar, banyak perkara yang perlu saya jalani prosesnya termasuklah syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang terlibat.

“Kertas kerja saya pun sudah siap, tunggu lagi mahu mendapatkan  kelulusan daripada pihak terbabit serta penajaan. Insya-Allah tim saya sedang berusaha ke arah itu.

“Saya juga tak mahu tergesa-tergesa, kerana saya yakin kalau sudah rezeki, takkan ke mana. Kertas kerja saya pun sudah siap, tunggu lagi mahu mendapatkan kelulusan daripada pihak terbabit serta penajaan. Insya-Allah kami sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH