
Industri hiburan Korea Selatan kehilangan seorang lagi bintang berbakat apabila pelakon Kang Myung-joo disahkan meninggal dunia pada 27 Februari 2025.
Pelakon berusia 54 tahun ini yang pernah membintangi drama popular Extraordinary Attorney Woo dilaporkan menghembuskan nafas terakhir setelah bertarung dengan penyakit kanser.
Karier hebat
Kang Myung Joo bukanlah nama asing dalam dunia lakonan, khususnya dalam teater dan drama bersiri Korea. Sejak memulakan kariernya pada tahun 1992 dengan kumpulan teater eksperimental ‘Kooni, Nara’, beliau telah terlibat dalam pelbagai pementasan teater seperti Hamlet, Circle of Life, Humans or Gods, dan Coriolanus.

Bakatnya yang luar biasa turut membuka peluang untuknya membintangi pelbagai drama bersiri seperti Shooting Stars, Dr. Romantic, See You In My 19th Life, A Time Called You, Doona! dan Castaway Diva.
Wataknya sebagai seorang hakim dalam Extraordinary Attorney Woo telah meninggalkan impak yang mendalam di hati penonton. Keunikan dan ketelitiannya dalam membawa watak menjadikan setiap lakonannya hidup dan penuh dengan emosi.
Pemergian yang ditangisi
Majlis pengebumian Kang Myung-joo telah diadakan di Hospital St. Mary, Seoul, dan beliau telah dikebumikan pada 2 Mac 2025. Kehilangan ini bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat, malah peminatnya di seluruh dunia.
Suami beliau, pelakon Park Yun Hee, serta dua anak mereka, turut hadir memberikan penghormatan terakhir.
Anak perempuannya yang juga seorang pelakon, Park Se Young, meluahkan kesedihannya melalui media sosial dengan kata-kata yang penuh emosi.
“Ibu saya meninggalkan kami semalam. Kami akan sentiasa mengenang pentas yang beliau cintai dan detik-detik beliau bersinar dalam dunia seni,” ujarnya.
Para peminat dan rakan selebriti turut membanjiri media sosial dengan ucapan takziah dan penghormatan kepada mendiang, mengenang jasa serta sumbangannya kepada industri seni Korea Selatan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI