
Dunia hiburan Jepun dikejutkan dengan pemergian pelakon dan penyanyi muda, Mizuki Itagaki, yang disahkan meninggal dunia pada usia 24 tahun.
Berita sedih itu dimaklumkan oleh keluarganya menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram Story bintang itu pada 17 April 2025. Menurut kenyataan tersebut, pemergian Mizuki adalah akibat satu insiden yang menyedihkan, tanpa menyatakan butiran lanjut.
“Kami ingin memaklumkan dengan penuh rasa dukacita bahawa Mizuki Itagaki telah meninggal dunia. Kami berterima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong beliau sepanjang hayatnya,” kata kenyataan itu.
Difahamkan, Mizuki dilaporkan hilang sejak akhir Januari lalu akibat masalah kesihatan mental yang dihadapinya sejak tahun lepas.

Pihak keluarga memaklumkan bahawa mereka baru-baru ini menerima panggilan daripada pihak polis mengenai penemuan mayat Mizuki di Tokyo.
“Dia amat berdedikasi dalam kerjaya hiburannya dan berhasrat membawa senyuman kepada orang ramai. Namun, ketika dia mula menunjukkan kemajuan untuk kembali bekerja, nyawanya berakhir dengan cara yang amat memilukan,” ujar keluarganya lagi.
Tambah mereka, pengumuman ini dibuat sebagai tanda penghormatan terakhir buat peminat kerana mereka percaya Mizuki tidak akan mahu pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada semua yang menyayanginya.
Mizuki mula menceburi industri hiburan sejak usia 10 tahun selepas dicungkil bakat oleh agensi terkenal, Stardust Promotion. Beliau merupakan anggota kumpulan J-pop, M!lk, dari tahun 2014 hingga 2020.
Selain itu, dia turut membintangi beberapa drama dan filem popular seperti Solomon’s Perjury (2015), Hana Moyu (2015) dan In-house Marriage Honey (2020).
Pada Mac 2024, Mizuki meninggalkan agensi Stardust Promotion dan kelab peminat rasminya turut ditutup.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI