Pelakon Natasha Elyzza bersyukur kontroversi yang pernah terpalit dengan dirinya dulu tidak menjadi penamat karier seni yang sudah diceburinya sejak sembilan tahun lalu.
Berkat doa dan kesabaran, pemilik nama penuh Natasha Elyzza Rohishim ibarat mendapat peluang kedua untuk membuktikan bakat dalam industri.
Akui Natasha, 28, kontroversi video menari di salah satu aplikasi yang pernah tular sebelum ini sedikit-sebanyak menjejaskan namanya sehingga dia ‘digam’ daripada dunia lakonan.
“Dua tahun juga saya tidak bekerja, kemudian diikuti pandemik. Memang saya rasa ‘lost’, kecewa dan ingat tiada lagi peluang untuk saya berlakon.
“Kebanyakan yang nak ambil saya, pasti ada stigma, ‘tak perlulah nanti dia buat hal’. Bagaimanapun Alhamdulillah peluang itu datang sedikit demi sedikit sejak tahun lalu,” katanya.
Tambah Natasha, apa yang berlaku sebelum ini mematangkan dan mengubah dirinya untuk menjadi lebih baik.
Bahkan pelakon yang mula menyerlah menerusi drama Isteri Separuh Masa dan M.A.I.D itu tekad untuk membuktikan kemampuan diri selepas ini.
“Saya nak buktikan untuk jadi lebih baik dan saya bukan macam dulu lagi. Sejujurnya saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku sebab kalau tak jadi semua itu, saya tidak mungkin jadi lebih matang.
“Perlahan-lahan saya belajar cara bercakap dengan orang. Kalau tidak dulu, saya tak fikir sebelum bercakap. Bukan itu sahaja, ia juga menyedarkan saya untuk lebih berhati-hati memilih kawan,” jelasnya.
Natasha berkata, dia sangat berterima kasih kepada penerbit dan pengarah popular, Michael Ang yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat dan membantunya untuk bangkit.
“Sejak awal saya ‘jatuh’, Michael banyak memberikan kata-kata semangat dan cuba untuk membantu saya.
“Walaupun susah untuk selitkan nama saya, dia tetap juga cuba bagi sekecil-kecil peranan, sehingga saya diberi peranan besar dalam The Hotel tahun lalu,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Natasha Elyzza