Khabar duka menyeliputi industri seni Indonesia apabila penyanyi dan pelakon terkenal era 80an, Marissa Haque dilaporkan meninggal dunia pada tanggal 2 Oktober 2024.
Berita kematian wanita berusia 62 tahun itu disahkan sendiri dalam satu mesej yang disampaikan kepada media tempatan.
“Assalamualaikum wr.wb. Innalillahi waina ilaihi rojiun, telah berpulang dengan tenang ke rahmatullah, Assoc. Prof. Dr. Marissa Grace binti Haque – Fawzi. Pada 2 Oktober 2024 pukul 00.50 WIB.
“Semoga Almarhumah diampunkan segala dosanya, diterima segala amal ibadahnya dan berpulang dalam keadaan Husnul Khotimah dan ditempatkan di tempat terbaik di sisi Allah SWT,” tulis pesanan yang diberikan.
Setakat artikel ini ditulis, punca kematiannya belum lagi dikongsikan kepada umum, walaupun begitu menurut beberapa sumber jenazah akan disemadikan di Tempat Pemakaman Umum Tanah Kusir.
Popular pada era 80an, anak jati Balik Papan ini memulakan karier apabila muncul sebagai penyanyi menerusi sanggar ‘Swara Mahardika’. Dia kemudian melebarkan sayap ke dalam dunia lakonan dan berlakon dalam beberapa filem.
Penampilan cemerlangnya dalam filem Tinggal Landas Buat Kekasih melayakkannya memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Piala Citra yang merupakan salah satu anugerah berprestij dunia perfileman Indonesia.
Berkahwin dengan penyanyi Ikang Fawzi pada 1986, Marissa meninggalkan dua orang cahaya mata iaitu, Isabella Fawzi dan Chikita Fawzi.
Seorang yang mementingkan Pelajaran, Allahyahamah memperoleh gelaran Doktor Falsafah (PhD) apabila menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran di Institut Pertanian Bogor pada 2012.
Marissa pernah berkhidmat dalam dunia politik sebagai anggota DPR Republik Indonesia bermula 2004 sehingga 2009.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI