Pelamin Indah Inspirasi Jabal Rahmah Tempat Pertemuan Nabi Adam AS & Hawa, Perkongsian Video Dari Neelofa Raih Perhatian

Share

Meski sudah dua hari berlalu, namun majlis pernikahan pasangan selebriti Neelofa dan PU Riz nan indah masih lagi menjadi bualan dalam kalangan warganet.

Malah masing-masing kekal berbicara mengenainya, termasuk dekorasi serta tema perkahwinan serba putih yang sejuk mata memandang.

Tidak dinafikan, pelaminan rekaan pereka dan perancang perkahwinan, Reka Teemor antara yang mendapat perhatian.

Reka Teemor menerusi hantaran di Instagram mendedahkan rekaan pelamin pasangan itu diinspirasikan dari Jabal Rahmah yang menjadi tempat pertemuan Nabi Adam AS dan Hawa.

Malah, Reka Teemor turut mengakui pihaknya berahsia selama tiga minggu sebelum berkongsi hasil rekaan mereka kepada umum.

“The Jabal Rahmah. Tiga minggu menyorok dari paparazi untuk merahsiakan pelaminan berinspirasikan pergunungan di mana Adam & Hawa dipertemukan.

“Didoakan @neelofa dan @hrisbismail bertemu penyejuk hati masing-masing dan saling melengkapi, amin,” tulis akaun berkenaan menerusi ruangan kapsyen.

Sementara itu, menerusi platform sama, Neelofa melalui IG TV turut berkongsi kepada umum di balik tabir proses persiapan sehari sebelum hari bahagianya berlangsung.

Menerusi video tersebut kelihatan Neelofa yang mengenakan persalinan serba putih dan bakal suaminya ketika itu, Haris Ismail sibuk meninjau sekitar persiapan bersama kru terlibat.

 

Video yang sudah pun menerima tontonan lebih 1.5 juta kali itu turut dihujani dengan komen pujian selain mendoakan agar pasangan sama cantik sama padan itu terus kekal hingga ke jannah.

Terdahulu, selebriti berusia 32 tahun itu selamat bergelar isteri kepada Haris Ismail atau sinonim dengan panggilan (Pencetus Umah) PU Riz dengan sekali lafaz kira-kira jam 11.43 pagi Sabtu. Majlis berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Foto: Instagram Neelofa

Published by
MH