Inisiatif organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) yang menggilap kebolehan anak muda negara dalam pelbagai sektor terutama keusahawanan dapat dijadikan contoh dalam memperkasakan ilmu serta semangat generasi pelapis.
Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, program menyeluruh menerusi aktiviti perkongsian ilmu dan pertandingan yang mencungkil idea peserta sendiri dapat diketengahkan ke peringkat lebih luas.
“Anak muda pada masa kini berdepan cabaran besar sejajar kepesatan teknologi yang secara tidak langsung memerlukan mereka lebih berdaya saing dalam segala sektor. “Menerusi pembabitan NGO, pertubuhan serta agensi berkaitan, ia dapat membantu pihak kerajaan dalam mengenalpasti golongan sasaran untuk diketengahkan termasuk meneroka bidang perniagaan lebih besar.
“Apabila melihat penganjuran DIYC Business Plan Challenge, saya melihat ia usaha yang wajar diteruskan kerana dapat menyuntik inspirasi selain berpeluang meraih perhatian kepada pelabur berpotensi,” katanya.
Aznana berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutup DIYC Business Plan Challenge 2023 anjuran Pertubuhan A Diversity and Inclusion Movement by The Youth (DIYC) yang berlangsung di Johor, baru-baru ini.
Pada majlis yang berlangsung di Sunway Hotel Iskandar Puteri itu, hadiah berupa wang tunai berjumlah RM32,000 disampaikan kepada barisan pemenang serta penerima saguhati.
Hadir sama ke majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim dan Pengarah Projek DIYC Business Plan Challenge 2023 Rehhahn Tudball.
Juara diraih International Medical University (IMU) yang membawa pulang RM15,000, disusuli UNIKL MIAT dengan hadiah RM10,000, manakala tempat ke tiga dimenangi Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) bersama ganjaran RM5,000.
Dua lagi wakil Utar yang dapat mara pentas akhir bersama 29 finalis lain diumumkan sebagai pemenang ke empat dan ke lima sekaligus masing-masing menerima RM1,000 sebagai saguhati.
Idea pembentangan meliputi pelbagai lapangan seperti pertanian, sistem aplikasi dan kesihatan, manakala juara tampil dengan potensi berkenaan bisnes Artificial Intelligence (AI) yang serba lengkap dan meyakinkan juri.
Diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Belia Karisma Jauhar, Persatuan Seniman, Pertubuhan Aspirasi Karisma,q UniKL dan Next Gen Malaysia (CILT), DIYC Business Plan Challenge adalah pertandingan yang dibuka kepada penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta, Kolej Mara dan Vokasional selain belia berdaftar di bawah NGO.
Setiap kumpulan dengan empat peserta perlu membentangkan pelan perniagaan yang berpotensi dikembangkan di hadapan juri yang diketuai personaliti keusahawanan dan selebriti popular, Nazril Idrus.
Selain membariskan juri berpengalaman dalam pelbagai bidang termasuk Sazzy Falak dan personaliti bisnes, Arif Tukiman, kemuncak majlis anugerah itu turut dihiburkan persembahan Ratu Rock Negara, Ella.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.