“Pelik Kerana Suami Asyik Mengidam Dan Kerap Beli Durian,” – Tahniah! Kaka Azraff Hamil Anak Kedua

Share

Tahniah diucapkan buat penyanyi, Kaka Azraff yang memaklumkan dia kini sedang hamil anak kedua sekaligus memohon doa ramai agar dipermudahkan segala urusan kehamilannya kali ini.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff,32, kandunganya kini berada dalam trimester pertama.

“Berbanding kehamilan pertama, alahan kali ini dikawal dengan lebih baik kerana saya rasa ia lebih kepada ‘mindset’. Cuma kali ini, saya kurang mengambil daging tetapi lebih suka makan ikan dan buah-buahan.

“Saya kini berada dalam fasa sering muntah, boleh dikatakan hampir setiap setengah jam pasti termuntah. Saya hanya boleh berfikiran positif saja kerana keadaan agak tidak menentu ketika ini,” katanya menerusi Wacana.

Berkongsi perkembangan kehamilannya juga, Kaka mendedahkan pada awalnya dia tidak mengetahui sedang berbadan dua, namun suaminya pula yang ‘idamkan’ durian.

“Mungkin juga dahulu saya tiada pengalaman, jadi susah hendak mengawalnya. Kebanyakan masa terbaring saja. Yang menariknya, saya tidak tahu saya hamil, pelik kerana suami asyik mengidam dan kerap membeli durian.

“Berbeza dengan kehamilan pertama, saya mahu berkongsi kepada semua namun dalam bentuk sederhana. Lagipun negara sedang berdepan pandemik, saya tidak mahu melanggar sensitiviti mana-mana pihak,” katanya.

Kaka pada masa sama juga percaya kepada rezeki dan tidak memilih soal jantina anak yang bakal lahir.

Bagaimanapun, dia berdoa dirinya serta anak yang dikandung berada dalam keadaan baik.

“Masih terlalu awal untuk berbicara soal jantina. Apa yang penting saya dan juga kandungan baik-baik saja. Sudah ada seorang anak lelaki, jika dapat perempuan pun melengkapi keluarga kecil kami,” kata penyanyi yang baru sahaja muncul menerusi lagu Janji ku ini.

Sekadar info, Kaka mendirikan rumah tangga bersama  suaminya, Adam Azriff pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Aslan yang dilahirkan pada Oktober 2019.

Sumber, Foto: Wacana, Instagram Kaka Azraff

Published by
MH