Pelakon Anna Jobling kini sukses mencipta nama di Indonesia selepas terlibat menerusi filem sulung arahan Baim Wong, Lembayung yang bakal ditayangkan secara rasmi di Indonesia bermula semalam.
Kejayaan tersebut bukan sahaja memperkukuhkan namanya di negara Seberang, malah turut membuka lebih banyak peluang mengembangkan bakat.
Jelas Anna, selepas pembabitannya dalam Lembayung, dia menerima tiga tawaran filem baharu daripada produksi Indonesia.
“Saya sangat terharu dan bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh industri perfileman Indonesia.
“Selepas filem Lembayung, saya tidak menyangka akan menerima tawaran filem daripada tiga produksi berbeza di sini. Ini adalah peluang besar untuk saya kembangkan bakat dan karier di Indonesia,” katanya.
Pelakon yang popular menerusi drama Melur Untuk Firdaus ini turut berterima kasih kepada Baim Wong kerana membuka jalan untuknya di Indonesia.
Menurut Anna, tanpa sokongan dan bimbingan Baim, peluang seperti ini mungkin sukar untuk dicapai.
“Baim bukan sahaja seorang pengarah yang berbakat, tetapi juga seorang mentor yang banyak membantu saya.
“Saya berterima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam projek yang besar seperti ini. Dia benar-benar membuka pintu rezeki untuk saya di Indonesia,” tambahnya lagi.
Menyentuh mengenai pengalamannya pada tayangan perdana filem Lembayung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, Anna melahirkan rasa teruja apabila dikerumuni para peminat Indonesia yang menyambut kehadirannya.
“Saya tidak pernah membayangkan sambutan hangat seperti ini. Pemain industri di sini sangat profesional dan peminat pula sangat penyayang. Mereka sangat menghargai saya, dan saya rasa sangat gembira dan bersyukur,” katanya.
Lebih mengujakan, pada majlis tayangan perdana itu, peminat-peminat yang hadir turut meraikan ulang tahun Anna yang ke-24.
“Saya sangat terharu apabila peminat-peminat di sini bukan sahaja menyokong kerjaya saya tetapi juga meluangkan masa untuk meraikan hari lahir saya. Ia adalah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” katanya lagi.
Selain sambutan daripada peminat, Anna juga berpeluang bertemu dengan beberapa nama besar dalam industri perfileman Indonesia. Christine Hakim, Prilly Latuconsina, Giorgino Abraham dan ramai lagi bintang terkenal turut hadir pada majlis tayangan tersebut.
“Saya berharap dapat memberikan lebih banyak karya yang bermutu, bukan sahaja kepada peminat di Malaysia tetapi juga di Indonesia.
“Ini adalah fasa baru dalam karier saya dan saya akan terus bekerja keras untuk mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
@mediahiburanofficial Hakikatnya, perjuangan Anna Jobling nyata membuahkan hasil. Filem seram Lembayung mengukuhkan kedudukannya sebagai bintang yang diterima di Indonesia. Hebat bukan? #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ Powerful songs like action movie music – Tansa
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI