Pemain Badminton Nombor 1 Dunia, Kento Momota Terlibat Kemalangan Dalam Perjalanan Ke KLIA Awal Pagi Tadi

Share

Pemain badminton nombor satu dunia Jepun, Kento Momota, dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas terbabit kemalangan di Kilometer 13.7 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), awal pagi tadi.

Memetik Berita Harian, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, seperti yang dilapor mengesahkan tiga lagi mangsa yang bersama Momota dalam kejadian itu turut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Katanya seperti yang dipetik, tiga mangsa yang terlibat ialah Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), William Thomas, 30, dari England; pembantu jurulatih Jepun, Hirayama Yu, 35; dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Morimoto Akifumi, 42.

“Kita menafikan Momota berada dalam keadaan kritikal seperti dilaporkan sesetengah pihak. Sebaliknya, semua mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada media selepas melawat mangsa di Hospital Putrajaya.

Difahamkan, kemalangan jam 4.45 pagi itu berlaku apabila van dinaiki mangsa berlanggar dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, pemandu van berkenaan, B Nageswarau, 24, yang tersepit di tempat duduknya, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Syed Saddiq turut menegaskan, pihaknya mengambil berat kes itu kerana ia sangat tragik memandangkan ia membabitkan bintang badminton dunia dan kini giat memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa.

Sumber/Foto: Berita Harian/Carian Google

Published by
MH