Pengurus kepada pelakon Mimi Lana, Iman Tang mengesahkan spekulasi majlis pernikahan aktres itu bersama Syafiq Kyle yang dijadualkan berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang sudah dibatalkan seperti yang tular di media sosial sejak petang tadi.
Menurut Iman, perkara tersebut dimaklumkan sendiri Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 27, kepadanya.
“Dia berjumpa saya dua hari lalu memaklumkan yang majlis pernikahannya terpaksa dibatalkan pada saat akhir.
“Pembatalan dibuat kerana Mimi terikat dengan jadual penggambaran, selain ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan dengan Syafiq.
“Bila diberitahu mengenai perkara itu, saya memang terkejut. Tapi saya tahu Mimi memang baru sahaja masuk set penggambaran.
“Mimi kemudiannya meminta saya menghantar mesej pembatalan kepada tetamu yang sudah membuat RSVP kepada saya sebelum ini,” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu, tular mesej yang memaklumkan majlis pernikahan pasangan pelakon filem Pusaka itu dibatalkan pada saat akhir atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.
Pada 21 Januari lalu, Mimi berkongsi foto memaparkan jari yang hendak disarungkan cincin, iaitu simbolik kepada majlis pertunangan.
Foto itu diiringi ungkapan penuh kesyukuran pelakon drama rantaian Perempuan Itu sambil memberi bayangan hari bahagianya akan berlangsung tidak lama lagi.
Syafiq dalam satu kenyataan kepada media sebelum ini memaklumkan persiapan pernikahan sedang berjalan lancar dan hanya menanti hari bahagia.
Pasangan ini juga pernah dikatakan putus cinta pada Mei 2020 selepas lima tahun bersama, namun hubungan kembali bertaut apabila dilihat berkongsi gambar bersama dalam media sosial.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini