Pemenang Tempat Ketiga Golden Memories Asia, Eranzz Diundang Menyanyi Di Konsert Hetty Koes Endang 2020, Sempat Bertemu Di GV6

Share

Penyanyi baru, Eranzz atau nama sebenarnya, Shah Iran Shahdan meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas penghargaan menerima undangan dari penyanyi terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang untuk menyanyi sama di konsertnya yang bakal dilangsungkan tahun hadapan.

Pada masa sama, pemenang tempat ketiga di program hiburan Seberang, Golden Memories Asia yang berlangsung baru-baru ini itu juga menyifatkan pelawaan yang diterima sebagai sesuatu yang bermakna, apatah lagi dia masih lagi baru mencari tapak dalam seni.

Bintang itu turut menyifatkan ia sebagai satu mimpi dan berharap ia bakal menjadi kenyataan.

Malah, Eranzz turut berkongsi potongan klip video undangan Hetty di Instagram miliknya, beberapa hari lalu.

“Terima kasih Bunda! Sesuatu yang sangat besar utk saya.. diundang oleh Bunda Hetty Koes Endang @hke57 utk Menyanyi bersama di Konsert Besar Bunda di Malaysia tahun hadapan.

“Satu penghargaan yg sangat tinggi nilainya buat saya yang sememangnya bukan siapa2 di Malaysia. Terima kasih bunda, semoga imipan ini menjadi kenyataan menyanyi di hadapan bunda ini bagaikan mimpi karena saya membesar dan bekerja dgn lagu2 dari Bunda.

“Sewaktu di konsert Golden Memories Asia ini..saya hanya berpura ngak grogi (nerves) padahal dalam hati tuhan aja yang tau! Semua yg ada di @goldenmemoriesasia ini adalah legend! Boleh dikatakan GILA PENGALAMAN ini.

“Terima kasih sekali lagi bunda Hetty kerana banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar serta masukan buat saya untuk masa hadapan… SEMOGA TAHUN 2020 akn menjadi permulaan yang baik untuk saya.. love u Bunda,” tulisnya.

Terkini, Eranzz turut mengambil peluang menonton program Gegar Vaganza 6 (GV6), Ahad lalu sekali gus sempat bertemu dengan bintang idolanya itu selepas sekian lama tidak bersua.

“Ya Allah sedihnya dan terharunya kayak jumpa ibu sendiri yang lama terpisah, kesempatan ketemu Bunda di Malaysia.

“Sempat beri ole-ole untuk bunda,” jelasnya lagi yang kini sedang mencari material untuk melancarkan single sendiri tidak lama lagi.

Golden Memories Asia merupakan pertandingan pencarian bakat nyanyian lagu-lagu nostalgia era 1970-an sehingga 2000 yang diikuti enam negara Asia Tenggara, Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor Leste.

Published by
Rafiq Mazlan