Berita

Pemimpin Tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh Maut Dibunuh Di Tehran

Share

Pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh telah terbunuh di Tehran, Iran, kata kumpulan itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Rabu, Hamas berkata Haniyeh terbunuh dalam serbuan Israel di kediamannya di Tehran.

Menurut kumpulan itu lagi, pemimpin berusia 62 tahun itu  meninggal dunia selepas turut serta dalam upacara rasmi Presiden Iran Baharu, Masoud Pezeshkian yang mengangkat sumpah pada Selasa.

Kor Pengawal Revolusi Iran berkata punca kejadian itu belum  jelas tetapi sedang disiasat, lapor agensi berita AFP.

Perwakilan dari kumpulan Hamas yang mengawal Gaza berkata Haniyeh “dibunuh dalam serbuan Zionis yang khianat”.

Setakat ini, Israel masih belum memberi balasan atau mengeluarkan kenyataan tentang kejadian tersebut.

Ismail Haniyeh mengangkat sumpah sebagai pemimpin tertinggi Hamas pada 2006 yang menyaksikan kekuasaan kumpulan tersebut terhadap pentadbiran Semenanjung Gaza.

Sebelum ini, tiga anak Ismail, Hazem, Amir dan Mohamed telah terbunuh dalam satu serangan udara Israel pada 10 April 2024.

Kejadian tersebut turut mengorbankan nyawa empat cucunya, tiga Perempuan dan seorang lelaki.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
Fiezreen