SEMENJAK program Gegar Vaganza (GV) diperkenalkan oleh Astro, ramai penyanyi-penyanyi yang telah lama menyepi kembali menyinar dalam industri seni tanah air.
Mereka bukan sahaja berjaya mengubat kerinduan peminat-peminat setia mereka sebelum ini, tetapi juga menarik pengikut baru untuk memberikan sokongan.
Selama tiga musim bersiaran, GV telah menaikkan kembali nama Siti Nordiana, Azharina, Zarul Umbrella, Elly Mazlein, Siti Sarah, Faradhiya dan beberapa nama lagi.
Pun begitu sehingga kini nama penyanyi yang pernah popular dengan lagu Gelisah Mimpi, Liza Hanim, masih belum muncul dalam program yang semakin menjadi perhatian ramai ini.
Ramai peminat Liza yang mengharapkan agar penyanyi ini turut sama memeriahkan GV dan kembali mewarnai dunia hiburan tanahair setelah lama menyepikan diri.
Malah baru-baru ini ada antara peminat setianya yang membuat polling untuk menggesa Liza menyertai GV4 yang bakal berlangsung tidak lama lagi ini.
Liza ketika dihubungi meluahkan rasa terharunya apabila masih diingati peminat meskipun sudah lama tidak tampil dengan produk terbaru kerana begitu sibuk dengan bidang perniagaan yang sedang diceburinya.
“Sebenarnya memang ramai yang tanya tentang GV, namun mungkin bukan rezeki saya sebelum ini kerana selalunya program ini berlangsung ketika saya sibuk dengan urusan lain yang perlu didahulukan.
“Apa pun saya sangat berterima kasih kepada peminat yang masih ingat saya, malah terus menyokong saya sehingga ke hari ini,” katanya.
Hari ni bakal berlangsung majlis pengumuman barisan peserta yang akan menyertai GV4. Sama-samalah kita nantikan, adakah kali ini nama Liza akan tersenarai dalam musim ini ataupun peminat Liza perlu menunggu lagi untuk musim akan datang.