Hiburan

“Penat Dengan Isu Perkauman, Ia Hanya Berlaku Ketika Pilihanraya” – Adrian Teh Mahu Filem ‘Gold’ Jadi Medium Penyatuan

Share

Pengarah Adrian Teh mendedahkan ilham untuk menghasilkan filem Gold ini tercetus selepas dia melihat kejayaan luar biasa atlet badminton negara, Cheah Liek Hao yang berjaya mencatat sejarah memenangi pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menurut Adrian, kisah Cheah Liek Hao ini sepatutnya menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia untuk dijadikan inspirasi dalam mengejar cita-cita.

“Inspirasi untuk mengarahkan filem ini bermula selepas saya menonton video Liek Hao mengalungkan pingat emas Paralimpik Tokyo 2020 di leher Rashid Sidek.

“Bulu roma saya naik. Pada saya, ini semangat Malaysia yang sebenar. Bila saya buat kajian, rupanya Liek Hao merupakan atlet lagenda negara tapi tiada siapa perkatakan.

“Bila berjumpa dengan Liek Hao dan mendengar kisahnya, ia sudah menjadi satu skrip. Semangat juang, mentaliti juara dan tak mudah mengalah mampu menjadi inspirasi buat ramai pihak,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Adrian juga mahu filem ini menjadi medium penyatuan buat seluruh rakyat Malaysia meskipun hidup berbilang kaum.

“Antara sebab paling penting saya mahu menghasilkan filem ini adalah untuk memaklumkan kepada semua yang rakyat Malaysia mampu hidup dengan baik walaupun berbilang kaum.

“Saya sudah penat mendengar isu fasal perkauman. Isu perkauman ini tidak pernah berlaku dalam kehidupan seharian saya.

“Hal ini hanya berlaku ketika pilihan raya. Perkara seperti ini tidak sepatutnya diperkatakan lagi. Isu perkauman ini hal lapuk.

“Apa yang Liek Hao dan Datuk Rashid Sidek lalui, ia merupakan semangat Malaysia yang sebenar. Kisah seperti inilah yang sepatutnya dikongsikan dan diperbanyakkan lagi,” ujarnya lagi.

Menerusi filem ini juga, Adrian turut memaparkan realiti-realiti kehidupan para atlet terutamanya dalam soal kewangan dan kebajikan lebih-lebih lagi buat atlet paralimpik.

Ditayanya sama ada dia bimbang sekiranya kisah tersebut mengundang rasa kurang senang pihak atasan, ini pendirian Adrian;

“Apa yang saya ceritakan itu adalah fakta. Saya membuat kajian dan menemu bual beberapa atlet. Jika ada pihak merasakan hal ini merupakan satu masalah dan patut diselesaikan, jadi, buatlah sesuatu.

“Sebagai pembikin filem, saya tidak akan membuat fitnah atau cerita palsu lebih-lebih lagi ini merupakan kisah benar. Ini suara hati para atlet.

“Bekas atlet negara juga ada menonton filem ini. Dia bagitahu saya, walaupun agak menyakitkan, tapi ia merupakan hal sebenar. Saya bukan nak mengkritik tapi lebih kepana menegur,” akhirinya.

Terdahulu, filem Gold ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Julai ini.

Filem terbitan Astro Shaw dan Act 2 Pictures ini dibintangi barisan pelakon seperti Farid Kamil, Jack Tan, Wan Raja, Fabian Loo dan ramai lagi

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf