Pelakon Rita Rudaini berang dengan sikap segelintir institusi pengajian yang dikatakan tidak mengambil serius dan cuba berselindung sekiranya berdepan dengan masalah buli melibat pelajar mereka.
Menurut Rita, pihak institusi sepatutnya melindungi para pelajar dan tidak memandang perkara ini sebagai isu remeh.
“Saya memang paling pantang dengar buli ini. Kalau di asrama, mereka ini tidak boleh mengadu kalau kena buli. Akan dipanggil barua dan dipulau.
“Budaya macam ini pun ada juga pengurusan dan cikgu menyokong serta pulau pelajar yang mengadu dekat keluarga apa yang jadi pada mereka.
“Mengadu barang kena curi pun kena pulau. Saya awal-awal lagi sudah bagitahu anak-anak budaya ‘pulau’ dan ‘barua’ ini jangan takut.
“Semua ini permainan orang yang takut perbuatan jahat mereka diketahui,” tulisnya.
Luahan itu dikongsikan oleh ibu kepada dua orang cahaya mata itu menerusi beberapa hantaran di Instagram Stories.
Pada masa sama, Rita turut berharap tragedi melibat penuntun Universiti Pertahana Malaysia (UPNM) Allahyarham Zulfarhan yang menjadi mangsa buli sehingga meninggal dunia dijadikan iktibar buat semua pihak.
“Ibu bapa, adik-adik semua dan termasuk saya, jom kita ambil pengajaran dari kisah Zulfarhan ini. Jangan ambil mudah atau takut nak melaporkan.
“Kalau tak nak lapor kepada cikgu atau pengurusan, berceritalah kepada ahli keluarga. Benda yang salah tetap salah. Dari benda kecil, boleh jadi besar,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Rita turut menasihatkan para ibu bapa supaya mendengar setiap
luahan dan mengambil maklum tentang anak-anak terutamanya yang berada di asrama.
“Kepada ibu bapa, bila anak-anak mengadu, jadi pendengar yang baik. Tapi ada pula ibu bapa yang kata dekat anak ‘Kau ni sakit sikit pun tak boleh tahan. Adatlah duduk asrama’.
“Ada ibu bapa yang pelik bila kita cakap anak-anak hari-hari telefon. Mulalah kecam kata tak bagi berdikari dan terlalu memanjakan. Takkan nak tunggu benda penting baru telefon.
“Bukankah elok bersembang dengan ibu bapa setiap hari. Ada pula ibu bapa yang bangga anak dia ‘terpaling independent’. Semua nak sekolah urus,” ujarnya lagi.
Kata pelakon filem Mistik itu lagi, tanggungjawab untuk mendidik anak-anak tidak akan pernah habis walaupun mereka berada di asrama.
“Selalulah berkomunikasi dengan anak-anak. Mereka masih muda dan belum ada pengalaman.
“Kita pernah ada di umur mereka. Gunakanlah pengalaman pahit manis yang kita lalui dulu untuk mereka jadikan penanda arah,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.