“Pengalaman Bermakna Tak Akan Saya Lupa,” – Nad Zainal Buat Pertama Kali Berkongsi, Hampir Sebak Cerita Reaksi Anak

Share

Selepas sebulan menerima rawatan di sebuah pusat perubatan akibat pendarahan dalam paru-paru, pelakon Nad Zainal menyifatkan ia sebagai suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Menurut Nad, 32, apa yang berlaku membuatkan dia kini lebih menghargai kehidupan.

“Pengalaman selama sebulan di hospital, ia satu pengalaman bermakna dan tak akan saya lupakan. Ia membuatkan saya lebih menghargai kehidupan dan akan lebih berhati-hati.

“Akan selalu lakukan pemeriksaan kesihatan selain nak hargai semua makanan. Tak mahu buang-buang dah. Nanti kita cerita selebihnya.

“Hari ini lebih kepada saya ingin menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sokongan semua,” katanya yang akan mengulas lanjut mengenai penyakit yang dialami di lain masa. 

Nad berkongsi perkara tersebut buat pertama kali menerusi sesi siaran langsung yang dilakukan di platfrom TikTok malam tadi.

Antara lain, pelakon drama Cina Buta itu turut kelihatan sebak apabila berkongsi reaksi anak-anak sejurus melihatnya kembali pulih.

“Sudah tentu mereka gembira. Ibu bapa saya datang terlalu awal sebelum masa saya dibenarkan keluar hospital.

“Jadi saya minta kebenaran pihak hospital untuk saya jalan keluar ke kereta ibu bapa. Nak tengok anak-anak saya.

“Saya berjalan buat pertama kalinya dari hospital. Saya nampak Som, dia tunjukkan kat saya dan cakap ‘mummy mummy’.

“Boleh nampak dari dalam kereta, Som dah senyum dan nampak barisan gigi dia sudah penuh. Ketika saya dalam wad, dia sakit gusi sebab nak tumbuh gigi.

“Itulah pengalaman yang saya tak boleh lupa dengan melangkah keluar kena matahari. Dia macam ‘wow’ hidup baru. Begitulah… sebulan kot tak jumpa anak,” katanya lagi.

Menerusi sesi sama, Nad turut memberitahu dia akan berehat daripada dunia lakonan terlebih dulu atas nasihat keluarga dan rakan-rakan.

Malah Nad turut memberikan dedikasi kepada semua pihak yang menitipkan semangat serta doa yang baik-baik sekaligus meminta segelintir pihak agar menghentikan spekulasi yang tidak berasas.

Terdahulu pada Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin beberapa hari lalu dilaporkan sudah sedarkan diri malah sudah dipindahkan daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa.

Perkara tersebut dimaklumkan pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohammedin yang turut memberitahu, Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin juga sudah mampu berbual dan ketawa serta menunjukkan perkembangan positif sejak dimasukkan ke hospital pada 22 November lalu  akibat pendarahan dalam paru-paru.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH