Juri sepakat untuk tidak melakukan penyingkiran menerusi saingan minggu ketiga program realiti, Gimme The Mic Malaysia, yang bersiaran secara langsung dari Auditorium CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.

Sekaligus, ia memberi peluang kepada 14 peserta bertanding untuk mara ke minggu seterusnya bagi merebut gelaran juara pertama Gimme The Mic Malaysia dan meneruskan cabaran ke Gimme The Mic Global.

Bagi tiga pesertanya iaitu Bulan Asyraff, Syafiq Sahli dan Shazreen Shaharum, masing-masing optimis meneruskan saingan seterusnya berjanji untuk memberikan persembahan terbaik minggu hadapan.

Black berikan nama ‘Bulan’, seorang penyanyi jalanan

Menduduki dalam senarai enam peserta teratas yang meraih markah tertinggi iaitu sebanyak 62.27%, Bulan Asyraff sebelum ini pernah menyertai beberapa program realiti.

Rupanya, ‘Bulan’ yang digunakannya sebagai nama komersial telah diberikan oleh penyanyi Black Hanafiah sewaktu dia awal-awal menyertai pertandingan nyayian dan dia berjanji untuk terus mengekalkan nama itu sampai bila-bila.

“Memang saya aktif menyanyi dan sering buat ‘busker’ di merata-rata tempat. Selagi ada ruang dan peluang, saya akan cuba. Saya penyanyi sepenuh masa dan ini cara saya cari makan.

“Apa pun, masih banyak yang perlu saya belajar dan tak mahu selesa dengan pujian meski ramai yang kata tone suara saya unik. Cuma bagi saya, ia satu kelebihan dan rezeki dariNya.

“Bila dapat buat Bunga Citra Lestari (BCL) menangis ketika membuat persembahan, saya bersyukur bila ada yang dapat menghayati, tapi risau juga sebab semestinya jangkaan juri dan penonton akan lebih tinggi untuk minggu seterusnya,” katanya.

Sama seperti peserta lain, Bulan turut pasang impian melangkah sehingga ke peringkat Gimme The Mic Global.

“Saya sangat berharap… Bergelar juara itu rezeki. Ini impian dan cita-cita saya bila berada dalam pertandingan ini. Semestinya, ia pencapaian terbesar di dalam hidup,” katanya.

Terdahulu, Bulan Asyraff menyampaikan lagu I Got You (I Feel Good) yang dipopularkan oleh James Brown.

Ads

Syafiq Sahli dari dunia lakonan, aktiviti paranormal & nyanyian

Bagi peserta berusia 38 tahun ini pula, dia optimis untuk terus meneroka peluang yang ada, termasuk menerusi platform media sosial seperti TikTok.

“Saya memang nak besarkan empire ‘live streaming’ saya di TikTok. Sebenarnya nyanyian bukan menjadi konten utama memandangkan saya lebih cenderung dengan program eksplorasi paranormal.

“Cuma buat masa ini, saya rehat sekejap daripada meneruskan aktiviti tersebut khusus bagi memberi tumpuan terhadap Gimme The Mic. Meski ramai peserta yang hebat namun itu bukan alasan untuk saya sama-sama bersaing,” katanya.

Dalam pada itu, Syafiq akui pengalamannya sebagai pelakon membantu untuk mencantikkan persembahannya tiap minggu.

“Sebenarnya saya sudah 12 tahun ada pengalaman sebagai pelakon dan telah diajar secara teknikal untuk menghayati perasaan. Lalu ilmu yang ada saya cuba untuk terjemahkannya di atas pentas.

“Mungkin kekuatan saya bukan dari sudut vokal tapi untuk sisi penghayatan dan mood, kelebihannya ada di situ dan moga dapat menambat hari para juri,” katanya yang tidak terkesan dengan kritikan netizen yang memintanya untuk fokus dalam lakonan sahaja selepas ini.

Ads

Ijazah Pendidikan Muzik, Shahreen Shaharum intai peluang bergelar penghibur

Sementara itu, Shazreen Shaharum, 28, mahu membuktikan kebolehannya di pentas lebih besar meski pernah menyertai pelbagai program realiti nyanyian sebelum ini.

Baginya, peluang membuat persembahan secara langsung di hadapan penonton secara langsung mampu memberi keyakinan kepada mana-mana individu yang mahu ke depan.

“Pada saya, Astro dan Tik Tok merupakan platform yang sangat besar, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mencari peluang rezeki di media sosial. Ia jadi ruang kepada saya juga untuk lebih dikenali sebagai dapat ambil ilmu baharu.

“Saya memang suka menghiburkan orang dan punya impian untuk bergelar penghibur. Idola saya ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan Aina Abdul,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk menjadi penghibur yang mempunyai identiti tersendiri, dia perlu berani bereksperimen dari segi imej bagi memberikan kelainan dalam persembahan.

Ads

“Saya sangat suka dengan benda-benda yang cantik dan ekstravaganza. Bila menyanyi, saya perlu kelihatan cantik untuk menambahkan keyakinan.

“Malah saya terbuka untuk berkerjasama dengan mana-mana pereka fesyen. Jika mereka nak berkarya tapi tak tahu nak perkenalkannya di platform mana, beri rekaan anda kepada saya,” katanya lagi.

Dia yang mesra disapa Shaz turut berharap agar peminat dapat memberikan sokongan untuk mara ke peringkat global.

“Tanya mana-mana peserta pun mereka pasti nak ke peringkat global. Saya tak pernah lagi mewakili negara ke luar. Kalau ada rezeki, ada yang sudi undi dan suka dengan persembahan saya, doakanlah yang terbaik,” katanya lagi.

Semalam, Shaz meraih markah sebanyak 64.24% menyampaikan lagu I L U dendangan asal Aepul Roza.

Juara TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 daripada Astro, kira-kira RM9,300 (AS$2,000) daripada Tiktok selain tawaran projek lagu single tajaan Astro dan Rocketfuel.

Sementara Enam peserta terbaik pula bakal dipilih mewakili Malaysia untuk bersaing dalam saingan Gimme The Mic Global bersama peserta negara lain seluruh dunia.

Kesemua peserta diadili juri tetap iaitu Ajai, Yuna, Hael Husaini dan BCL dari Indonesia.

TikTok LIVE Astro Gimme The Mic Malaysia bakal bersiaran selama lapan minggu setiap Ahad jam 9.00 malam di Astro Ria dan On Demand. Penonton juga boleh strim di Astro Go dan sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

 

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI