Pengarah Cinta Kita, Kamal Ishak Meninggal Dunia

Share

Menerusi Berita Harian, dikhabarkan pengarah filem Cinta Kita, Kamal Ishak telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.02 pagi di kediamannya di Kulim, Kedah.

Perkara itu disahkan anak bongsunya, Muhammad Aliff Iman Kamal, 22.

Jelas Alif, kesihatan bapanya mula merosot ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dan lebih banyak terlantar di katil.

Tambahnya lagi, bapanya menghembuskan nafas terakhir di hadapan ibu dan adik beradik yang lain.

“Ayah sudah lama uzur, tetapi keadaannya bertambah teruk, sejak sebulan lalu.

“Sebelum ini, arwah masih boleh berjalan, tetapi tidaklah terlalu gagah. Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, arwah boleh dikatakan aktif.

“Hari demi hari kesihatan arwah semakin merosot sejak tempoh PKP. Ayah langsung tak boleh menjamah makanan dan akan termuntah apabila disuap makan.

“Bagaimanapun, selera ayah agak baik, sejak beberapa minggu ini.

“Saya tak menyangka ayah akan pergi secepat ini memandangkan dua jam sebelum menutup mata, ayah masih boleh bangun dan berjalan ke tandas.

“Arwah dijangka dikebumikan, jam 11 pagi di Tanah Perkuburan Masjid Taman Haruan, Kulim, Kedah.

“Kemungkinan pengebumian arwah akan lambat sedikit bagi menunggu anak-anak dari Kuala Lumpur untuk menatap jenazah buat kali terakhir,” katanya seperti yang dipetik.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Wan Noor Wan Chik dan sembilan cahaya mata.

Antara naskah terkenal ialah Nur-Ar-Rahman, Pak Gad, Tunggu Sekejap dan Budak Kampong.

Sumber : Berita Harian

Published by
Noraini Abd Wahab