PTidak kira selebriti atau sesiapa sahaja pasti pernah melakukan sebuah pengorbanan demi insan yang kita sayangi.
Pelakon jelita yang bakal bergelar ibu tidak lama lagi, Elfira Loy misalnya telah berkongsi erti pengorbanan pada dirinya.
“Pada Elfira, erti pengorbanan tu sangat besar sebenarnya apa sahaja benda-benda kecil yang kita buat, yang kita korbankan dalam hidup kita demi seseorang itu, itu dah jadi satu pengorbanan sebenarnya,” kongsi bintang filem Tentang Bulan itu.
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy turut berkongsi kisah pengorbanan yang pernah dilakukan olehnya demi keluarga tercinta.
“Pengorbanan paling besar dalam hidup saya sudah semestinya untuk keluarga saya, saya banyak berkorban demi keluarga saya dari segi masa dan sebagainya saya harap ia merupakan satu pengorbanan yang besar pada mereka.
“Lepas ni giliran saya pula untuk berkorban apa sahaja demi bayi yang bakal dilahirkan nanti, bertarung nyawa untuk melahirkan bayi,” kongsi Elfira kepada MH.
Terdahulu, bakal ibu berusia 25 tahun ini telah ditemui oleh MH di Anugerah Instafamous yang berlangsung di Menara Suezcap, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Dalam pada itu Elfira dan suami, Faris Khairol Anuar turut menerima anugerah khas untuk kategori Anugerah Instafamous Couple Sejati.