Bermulanya bulan Ramadan, aktiviti jual beli di bazar Ramadan kini dilihat semakin rancak berjalan lebih-lebih lagi dengan kebanjiran para pengunjung.
Bagaimanapun, timbul pula rungutan daripada segelintir pihak yang menyifatkan harga-harga juadah di bazar Ramadan kini dilihat agak mahal dan keterlaluan.
Isu ini nyata mendapat perhatian daripada ramai pihak. Antara yang turut sama melontarkan pandangan ialah pelakon, Azhan Rani.
Menurut Azhan, sebagai pelanggan, kita sebenarnya harus melihat perkara ini daripada pelbagai sudut dan dia juga percaya para peniaga mempunyai sebab yang tersendiri untuk menaikkan harga.
Katanya lagi, kita pilihan terletak kepada diri individu itu sendiri.
“Anggap saja ujian kecil Ramadan. Yang berniaga pasti ada sebab kenapa perlu naikkan harga. Menteri-menteri pun ada keluar statement katanya payah nak kawal harga naik. Tu yang aku baca la semalam, namun aku percaya kuasa beli masih pada pembeli.
“Ada orang yang memang terpaksa membeli. Ada pula yang jenis sekadar nak meraikan hak kebebasan buat ghamai kat bazaar Ramadan setelah dua tahun terikat dengan segala SOP musim pandemic.
“Boleh je tak beria membeli. Ada je jalan berjimat, masak sendiri ke, hantar mangkuk tingkat kosong rumah girlfriend ke. Ikhtiar hidup tu banyak,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Sementara itu, pelakon drama, Nur ini turut menyeru kepada semua pihak untuk terus menunjukkan sokongan terhadap para peniaga yang masih mengekalkan harga yang berpatutan agar dapat menjadi contoh buat peniaga-peniaga yang lain.
“Tapi aku rasa kuasa viral ni kadang-kadang boleh juga membantu. Aku percaya masih ada peniaga walaupun tak ghamai tapi masih bertahan dengan harga lama dan prihatin rakyat.
“Kalau korang jumpa apa kata cuba kuasa viral tu. Sharekan dengan orang ramai. Bila tempat-tempat macam tu jadi tumpuan manala tau peniaga-peniaga lain pun boleh ikut sama beri harga munasabah semula,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Azhan turut berharap agar semangat ‘Kita Jaga Kita’ akan dapat dikekalkan sampai bila-bila
“Kita pernah laungkan #kitajagakita dulu. Tok sah tunding-tunding jari dah. Apa kata kita sama-sama zahirkan slogan tu.
“Saja je nak pok pek pok pek pagi ni. Lagipun kan tak boleh sarapan sekarang. Maghrib lambat lagi. Sekadar pendapat bodoh aku je. Okay bye,” akhirinya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memberikan respon pelbagai berhubung isu tersebut.
“Kita pun faham sebab kita pun beli barang dapur. Yang kita tak tahan, puasa pertama dah terkena popia isi dalam basi. Puasa ke dua murtabak ayam rase telor. Huhu.
“Pendapat saya melalui permerhatian. Peniaga bermusim memang akan naik harga, tp peniaga sepanjang masa akan kekalkan harga.
“Yup, masing-masing ada pilihan. Ada orang memang tak sempat nak masak. Ada orang single, masak tak berbaloi. Jadi pilihlah ikut kemampuan masing-masing.
“Pilihan di tangan kita, tepuk dada tanya selera,” antara komen-komen netizen di Instagram.
Dalam perkembangan lain, Azhan baru sahaja mengadakan program derma darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara.
Menerusi program tersebut PDN telah berjaya mengumpul hampir 70 pek darah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber: Instagram Azhan Rani