Jumlah kes bunuh diri yang berlaku dalam negara yang kian meningkat sekaligus menimbulkan rasa kerisauan serta kebimbangan orang ramai.
Penyanyi dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim yang juga penaung Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) Malaysia dan selaku Pengasas Bersama dan Duta Kempen #StandForHOPE, dia menyatakan bimbang sekiranya masalah ini terus berlarutan.
Justeru, bintang berusia 43 tahun ini menyeru kepada orang ramai untuk bersikap lebih peka terhadap hal ini dengan cara mengambil berat antara satu sama lain.
“Tanpa kesihatan mental, tiada kesihatan rakyat yang sebenarnya. Segala masalah sosial yang kita sentiasa tunding jari dekat orang lain ia mungkin boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan mental… mungkin mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Penjagaan kesihatan mental adalah sangat penting kepada setiap individu dan saya sangat risau dengan rakyat Malaysia yang berdepan dengan situasi ini.
“Sekiranya kita semua ambil tahu dan ambil berat tentang perasaaan dan keadaan emosi kawan-kawan, jiran serta ahli keluarga misalnya, kita secara tak langsung boleh membantu mencegah sesuatu yang dikesali,” katanya.
Sarimah berkongsi pendapatnya itu bersempena dengan kempen Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia dan dia bersama penyanyi, Damian Milhail turut tampil dengan sebuah lagu baharu bertajuk ‘Harapan’.
Ia diharap mampu menjadi pemangkin untuk mereka yang sedang bergelut dengan permasalahan emosi agar tidak berputus asa.
Ia pada masa sama sebagai antara medium di dalam menyalurkan mesej lagu bersempena kempen berkenaan kepada khalayak.
Sarimah terdahulu sinonim sebagai antara selebriti yang tampil memperjuangan isu berkaitan kesihatan mental dan seboleh mungkin tidak pernah berhenti membantu memberi kesedaran kepada masyarakat serta menghapuskan stigma kesihatan mental.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan 10 September setiap tahun sebagai Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (World Suicide Prevention Day) yang mengangkat tema ‘Mencipta Harapan Melalui Tindakan’.
Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada tahun ini memfokuskan kepada tindakan yang boleh diambil oleh setiap individu kepada individu yang lain sama ada kawan, ahli keluarga, rakan atau pun sesiapa sahaja yang berada dalam komuniti kita, untuk kita sentiasa peka dan prihatin dalam memberikan harapan dan bantuan yang mampu menyelamatkan nyawa.
Gambar
Gambar
Sementara itu, Harapan merupakan lagu genre Pop R&B dan muzik video Harapan merupakan hasil ciptaan Damian Mikhail.
Lirik lagu tersebut padat dengan mesej positif dan bertepatan dengan perjuangan berkaitan kempen pencegahan dan hindari bunuh diri iaitu menghapuskan stigma dan memberi sokongan emosi kepada individu yang sedang bertarung dengan masalah kesihatan mental.
Ia penting bila mana permalasahan ini boleh menjurus kepada pemikiran dan tingkah laku bunuh diri serta yang telah terkesan akibat kematian insan tersayang yang Meninggal dunia Akibat Bunuh Diri (MABD).
Foto: Instagram Sarimah Ibrahim
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI