Pelakon Hafidz Roshdi, 29, menolak khabar angin yang mendakwa dia sudah berkahwin lain seperti yang didakwa isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29.
Hafidz berkata, dakwaan surat terbuka yang dimuat naik Nurul Shuhada di laman sosial pada 11 Mac lalu itu tidak benar dan dia tidak pernah berkahwin kali lain.
“Saya masih ‘single dan available’. Insya-Allah jika saya bercerai ini, saya single. Saya tidak berkahwin lagi. Dakwaan kahwin kali kedua tidak betul. Itu semua fitnah belaka,” katanya.
Hafidz berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, selepas prosiding bagi pengesahan lafaz cerai Hafidz terhadapnya isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, pagi tadi.
Terdahulu, peguam yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata pihak plaintif menyatakan tuntutan baharu bahawa adanya lafaz cerai baharu yang berlaku pada 22 Januari lalu, justeru mereka perlu menunggu keputusan mahkamah untuk keputusan kedua-dua lafaz cerai.
“Kita tunggu mahkamah putuskan mengenai kedua-dua lafaz itu,” katanya yang turut ditemui bersama Hafidz selepas berakhirnya prosiding berkenaan.
Terdahulu menerusi kenyataan balas terhadap surat terbuka yang dimuat naik Hafidz di Instagram (IG), Nurul Shuhada, mendakwa Hafidz berkahwin tanpa izinnya.
“Saya tidak lagi boleh berdiam. Saya terasa dikhianati, semuanya berlaku tanpa pengetahuan saya. Tetapi dengan pengetahuan keluarga Hafidz iaitu membenarkan Hafidz berkahwin tanpa izin saya,” katanya.
Nurul Shuhada berkata, luahan yang dimuat naik rentetan surat terbuka Hafidz itu dibuat bagi melindungi diri dan dua anak mereka.
Sebelum ini, Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu. Sebelum itu, adik Nurul Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz, 29, sah bercerai dengan talak satu dengan kakaknya itu, 29, pada 22 Februari lalu.
Sofia mendakwa Hafidz melafazkan cerai menerusi panggilan telefon dan kini sedang menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah.
Pada 13 Mac lalu pula, Mahkamah Kuala Kubu Bharu memerintahkan Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.
Perintah itu dikeluarkan Hakim, Siti Fatimah Talib, yang bertindak selaku Majistret selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar, bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Hafidz sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Nurul Shuhada di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, jam 3.30 pagi, pada 2 Mac lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntuk hukuman maksimum dua kali ganda, bagi sabitan mengikut Seksyen 323.
Kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkata ramai apabila Nurul Shuhada mendedahkan suaminya ada hubungan dengan wanita lain, bernama Athira Yuhada.
Athira Yuhada juga mendedahkan pernah berhubungan dengan pelakon itu, namun berjanji untuk tidak meneruskan hubungan mereka, selain memohon maaf kepada Nurul Shuhada dan anak-anaknya.
Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 6 dan Umar, 2.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI