Penulis novel serta penerbit, Siti Rosmizah Ismail, 51, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas disahkan positif Covid-19.
Berita itu dikongsikan menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Ahad.
“Mohon sahabat-sahabat serta semua yang mengenali Siti Rosmizah sama-sama untuk doakan dia kembali pulih daripada penyakit Covid-19.
“Dia kini berada di ICU dan dalam keadaan kritikal. Mohon doakan dia ya,” tulis penggendali (admin) di ruangan kapsyen.
Menerusi ruangan komen, beberapa selebriti turut meluahkan simpati serta mengharapkan Rosmizah akan kembali pulih seperti sedia kala.
“Ya Allah, permudahkan segalanya, berilah kesembuhan padanya,” tulis pelakon Zarina Zainuddin.
“Semoga diberi kesihatan, amin,” titip pelakon Erry Putra.
“Allahuakbar, semoga kak Siti dipanjangkan umurnya dan diberikan kesembuhan seperti sedia kala secepat mungkin,” komen pelakon Jasmin Hamid.
Rosmizah terkenal dengan novel tulisannya seperti 7 Hari Mencintaiku dan Jangan Menangis Cinta yang kemudiannya diadaptasi ke naskhah drama.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.