Berita

‘Penyanyi Dikir’ Kelantan Terharu Sambutan Penonton Luar – “Ada Yang Tahu Lagu Kami.”

Share

Penyanyi dikir yang selama ini hanya mencipta nama mereka di Kelantan khususnya melahirkan rasa terharu dan gembira apabila diberikan peluang untuk menunjukkan bakat mereka kepada penonton luar.

Bagi ketiga-tiga penyanyi dari Kelantan itu iaitu Adik Waniey, Fadil Turbo dan Adam ZBP, mereka teruja apabila masing-masing kini sudah mula mendapat perhatian peminat baharu selepas terbabit dalam siri Konsert Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire.

Kesemua mereka yang digelar penyanyi dikir kerana membawakan lagu-lagu dalam dialek Kelantan itu diberikan peluang membuat persembahan pada ke semua lokasi jelajah anjuran stesen Suria FM iaitu di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan.

“Syukur ramai beri maklum balas yang baik dan tak sangka ada yang kenal kami dan ikuti kami walaupun bukan dari Kelantan serta ada yang tahu lagu kami.

“Bagi saya peluang yang diberikan ini satu platform yang sangat baik untuk perkembangan kerjaya kami,” kata Adik Waniey atau nama sebenarnya Azmahirawani Nordin, 33.

Dua lagi sahabatnya turut senada dengan bekas peserta Dangdut Star itu yang melihat peluang diberikan sebagai laluan untuk dikenali lebih ramai peminat.

“Terima kasih kepada Suria dan Yaya Empire kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada kami,” kata Fadil Turbo atau nama sebenarnya Mohd Fadil Mohd Noor.

Bagi Adam ZBP atau Mohd Zuhri Iman Zaidi, 22, dia agak gementar pada awalnya ketika mahu beraksi di pentas luar dari Kelantan, namun lega apabila mendapat sokongan di kesemua lokasi Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire.

“Sebagai bakat baharu, saya sangat hargai peluang ini dan mengintai peluang untuk memperkenalkan diri saya dalam bidang nyanyian,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abd Majid juga memberitahu mereka mendapat maklum balas sangat baik daripada pendengar.

“Selain menampilkan artis popular kali ini kami bawakan kelainan dengan kehadiran persembahan penyanyi dikir ini dalam mewarnakan lagi konsert jelajah kami.

“Kesinambungannya akan dijalankan di jelajah Kota Bharu pada 11 dan 12 Oktober ini dengan Pertandingan Nyanyian Lagu Dialek Kelantan menampilkan 10 peserta.

“Kesemua mereka berpeluang merebut hadiah wang tunai tajaan Yaya Empire di mana empat akan bersaing di peringkat final,” katanya.

DJ Lin menambah, jelajah di Nilai juga mencipta sejarah apabila pengurusan AEON memaklumkan lebih 10,000 pengunjung hadir di kedua-dua hari berkenaan.

Menurutnya, pihak pasar raya berkata jumlah berkenaan yang tertinggi pernah dicatatkan dalam acara yang pernah dianjurkan.

Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa mengakui gembira dengan sambutan di Nilai dan berjaya mencatat jualan produk wangian jenamanya yang mencecah enam angka.

“Kami sangat gembira dengan penyertaan bersama Suria FM dan DJ Lin khasnya dalam jelajah kali ini dan jangan lupa penutup di Kota Bharu Kelantan nanti yang turut bekerjasama sempena Hari Sukan Negara,” katanya.

Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire bakal berlangsung di lokasi terakhir di Kota Bharu menampilkan artis seperti Floor 88, Afieq Shazwan, Baggio Damasutra, Poey Stings dan Sri Budi Jati, pada 11 hingga 12 Oktober depan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

@mediahiburanofficial Penampilan Ameng Spring yang turut menyampaikan beberapa buah lagu hitsnya, di Siri Jelajah Suria FM Kuasa 2 yang kini sedang berlangsung di Angsana Mall, Johor Bharu. Memang happening! #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan
Published by
MH