Penyanyi terkenal asal Ireland, Sinéad O’Connor telah meninggal dunia pada usia 56 tahun. Kematiannya telah diumumkan oleh keluarganya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan tersebut, keluarga penyanyi itu berkata, “Dengan penuh kesedihan kami mengumumkan kematian Sinéad yang sangat kami sayangi. Perasaan keluarga dan rakan-rakannya hancur dan meminta privasi pada masa yang sangat sukar ini.”
Sepanjang kariernya yang bermula sejak 1986, penghibur terkenal ini telah mengeluarkan 10 album studio, manakala lagunya Nothing Compares 2 U dinamakan sebagai single nombor satu dunia pada tahun 1990 oleh Billboard Music Awards.
Versi baladanya, yang ditulis oleh pemuzik Prince, mendahului carta di seluruh dunia dan memperoleh tiga pencalonan Grammy.
Pada tahun 1991, Sinead dinamakan sebagai Artist of The Year oleh majalah Rolling Stone hasil kejayaan lagu kejayaan lagu itu. Pada awal tahun ini pula, dia telah diberikan anugerah sulung untuk Album Irish Klasik di Anugerah Muzik Pilihan RTÉ.
Pada tahun 1992, Sinead pernah mencetus kontroversi apabila mengoyak gambar Pope secara langsung di kaca televisyen atas bantahan terhadap kes penderaaan seksual kanak-kanak yang berlaku di gereja katolik. Menghadapi kritikan yang hebat akibat tindakannya itu, namun dia tetap dengan pendirian.
Artikel Berkaitan: “Tiada Sempadan Boleh Memisahkan Kita,” – Anak Sinead O’Connor Meninggal Dunia Selepas Dilaporkan Hilang
Penyanyi terkenal ini kemudiannya memeluk Islam pada tahun 2018 dan menukar namanya kepada Shuhada Sadaqat. Walaupun begitu dia terus menggunakan nama asalnya sebagai nama pentas.
Sinead memiliki empat orang cahaya mata. Namun seorang daripadanya telah meninggal dunia pada 2022.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan