Penyerang JDT Syafiq Ahmad kemalangan, Bayi & Ibu Mertua Meninggal Dunia

Share

Penyerang muda JDT, Muhammad Syafiq Ahmad, telibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Sungai Bakap, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku apabila kenderaannya dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dan dua wanita, Zainab Wahab, 45 tahun, difahamkan ibu mertuanya, dan Titik Sukamti, 30-an.

Muhammad Syafiq, 25 tahun, dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2 tahun, cedera ringan namun isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25 tahun, dilaporkan cedera parah, memetik laporan Awani.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.36 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire berwarna hitam remuk teruk selepas dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan.

“Terdapat enam mangsa iaitu tiga dalam keadaan selamat manakala tiga lagi tersepit di dalam kenderaan itu.

“Pasukan bomba dengan PPE lengkap kemudian membuat kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira jam 6.10 pagi.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber/Foto : Awani/Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang & Berita Harian

Published by
MH