Pelakon dan penyanyi, Sasha Saidin akui lega selepas segala urusan untuk membawa anak lelakinya, Adam Aryasenna Notosoemarson untuk menetap di Dubai bersama dia dan suami akhirnya selesai.
Menurut Sasha, urusan tersebut sebenarnya telah tertangguh hampir dua tahun berikutan perintah lockdown di kedua-dua buah negara sebelum ini.
“Sekarang ini saya berada di Malaysia bagi menguruskan dokumentasi anak saya untuk berhijrah ke Dubai. Sebelum ini kami memang merancang untuk bawa dia ke sana tapi pintu sempadan negara pun baru dibuka Oktober lalu.
“Kebetulan semasa saya balik ke Malaysia tahun lalu, negara pula dalam keadaan lockdown. Lantaran itu, segala urusan pendokumentasian jadi agak panjang sebab saya kena berurusan di Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan. Prosesnya agak susah sedikit.
“Bila keadaan dah kembali normal, alhamdulillah semuanya dah selesai. Insyallah Adam akan tinggal bersama kami di sana,” katanya kepada MH.
Bekas anggota kumpulan Elite itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis ulang tahun perkahwinan adiknya, Zain Saidin dan Rozita Che Wan yang berlangsung di Damansara, baru-baru ini.
Sasha turut menambah, meskipun tidak dapat beraya bersama suami pada tahun ini, namun, dia tetap percaya aturan Allah adalah yang terbaik
“Segala urusan dokumen ini saya buat sendiri sebab saya dah ada pengalaman semasa ingin memohon visa dulu. Memang banyak kerja tapi alang-alang dah balik tu, saya dapat beraya bersama keluarga dan kawan-kawan. Mak saya pun duduk sorang sekarang.
“Saya sudah berada di Malaysia beberapa minggu sebelum raya. Suami tak dapat ikut sebab tak dapat cuti. Mungkin raya tahun depan kami akan balik sekali nanti.
“Sebelum ini, saya beraya di Dubai dan anak beraya di sini disebabkan masih lagi lockdown tapi saya percaya perancangan Allah itu terbaik. Kalau anak ikut saya sekali waktu itu, tiada siapa yang akan menemani mak saya.
“Mak saya ni terlampau strict sampai Zain pun dia tak benarkan untuk balik rumah masa lockdown. Jadi, anak sayalah yang jadi peneman mak saya selama tempoh tersebut,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Sasha turut menafikan tanggapan segelintir pihak yang mengatakan dia sekeluarga bakal menetap terus di negara Timur Tengah itu buat selamanya.
“Ramai tersalah anggap sebenarnya. Suami saya ni orang Malaysia cuma dia ada darah campuran Arab. Dia bekerja di Timur Tengah dah lama tapi lambat laun kami akan balik ke Malaysia juga. Bila masanya tu kami tak dapat nak pastikan.
“Segalanya bergantung kepada situasi semasa dari segi ekonomi dan pekerjaan. Untuk perancangan ketika ini, kami akan menetap di Dubai,” akhirinya.
Sekadar informasi, Arya merupakan anak hasil perkahwinan keduanya bersama Salyo Priyanto Nutosoemarsono. Bagaimanapun, mereka bercerai pada Julai 2012.
Pada Januari 2020, Sasha telah mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hati, Sirhan Wahab yang turut mempunyai dua orang cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Sasha Saidin