Hiburan

“Percayalah Cakap Saya…,” – Tampil Sedondon Dengan Bella Astillah, Muaz Zabir Jelaskan Ia Kebetulan

Share

Sering dilihat mengenakan pakaian sedondon bersama pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, pelakon meningkat naik, Muaz Zabir menyifatkan perkara tersebut hanyalah satu kebetulan.

Menurut Muaz, dia dan Bella tidak pernah merancang untuk tampil sedondon sebaliknya dia sering mengenakan pakaian putih kerana itu warna kegemarannya.

“Segalanya berlaku secara kebetulan. Seperti yang anda boleh lihat sebentar tadi, saya dan Bella sama-sama mengenakan pakaian berwarna putih tapi percayalah cakap saya, kami tidak merancang apa-apa.

“Kebetulan, saya pula memang suka pakai baju warna putih bila datang ke mana-mana majlis. Yang selalu berjumpa saya, mesti perasan perkara ini,” katanya kepada MH.

Muaz berkata sedemikian ketika ditemui ldi majlis pengumuman malam kemuncak Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-36 di Courtyard By Marriot, Kuala Lumpur pada Rabu.

Ditanya adakah Muaz ketika ini sedang berusaha menambat hati Bella memandangkan tempoh iddahnya sudah pun tamat, Muaz menjawab mereka kini hanya memberikan fokus terhadap kerjaya.

“Saya tidak melihat perkara tersebut sebagai satu peluang keemasan yang perlu direbutkan. Namun, apa yang boleh saya katakan, kami hanya berkawan dan akan ada projek bersama-sama.

“Jadi, kami akan selalu berjumpa dan tak boleh nak bermasam muka. Kita hanya meneruskan kehidupan masing-masing dan buat yang terbaik,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, pelakon drama Leha Leya Lawa turut mengakui dirinya sering menemani Bella dikebanyakan acara dan ia hanyalah sebagai tanda sokongan sesama rakan artis.

“Ada sebab kenapa saya sering dilihat bersama Bella Astillah. Kami bukan buat saja-saja. Bella akan adakan satu sesi sidang media nanti, jadi, di sana saya akan terangkan dengan lebih terperinci.

“Bercakap tentang sokongan, saya juga berhak untuk menyokong artis-artis lain atau individu yang saya senangi. Baru-baru ini saya ada menunjukkan sokongan kepada Riena Diana dan Elly Suriaty. Mereka ada teater.

“Jika saya ada kelapangan untuk membantu sesama rakan artis, apa salahnya saya buat,” akhirinya.

Terdahulu, aktor berusia 27 tahun itu tidak menolak sekiranya bertemu jodoh dengan Bella dan berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus mendoakan dirinya.

Sebelum ini, Bella disahkan bercerai dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz pada 13 Jun lalu di Mahkamah Rendah Wilayah
Persekutuan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf